KETUA pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Paulo Josue, sama sekali tidak menduga mampu tersenarai dalam kalangan tiga terbaik kategori Pemain Import Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22)

Malah dia juga berbangga kerana mampu tersenarai bersama-sama dua tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan Fernando Forestieri.

Selepas tidak tersenarai pada musim lalu, Josue anggap ini sebagai satu penghormatan besar sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak yang mencalonkan dirinya.

“Saya sangat gembira dengan pencalonan ini, tambah-tambah bersama dua pemain yang sangat hebat iaitu Bergson dan Forestieri.

“Sesiapa yang memahami bola sepak, sudah tahu betapa bagusnya mereka berdua dan rasa satu kejayaan apabila turut bersaing bersama mereka.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang sentiasa beri sokongan sama ada di dalam atau luar padang.

“Tidak dilupakan kepada semua ketua pasukan dan jurulatih yang mencalonkan saya kerana ini sesuatu yang besar maknanya apabila kemampuan kita diiktiraf oleh pasukan lawan,” katanya.

Prestasi Josue musim ini berada di tahap terbaik apabila meledak 8 jaringan dan 10 bantuan gol secara keseluruhan dari 27 perlawanan Liga Malaysia yang diturunkan bersama KL City.

Namun, dia dijangka akan menerima saingan sukar daripada Bergson yang berada di kemuncak prestasi apabila meledak 40 gol dan 7 bantuan jaringan (bermain dalam 30 perlawanan) sementara Forestieri, menjaringkan 24 gol dan 9 bantuan jaringan (bermain dalam 31 perlawanan).

Dalam masa sama, Josue tidak meletak harapan untuk menang sambil menyifatkan sesiapa sahaja yang tercalon layak untuk memenangi gelaran Pemain Import Terbaik 2022.

“Sama-samalah kita nantikan keputusannya tetapi apa jua keputusan, saya mampu menerima dengan hati terbuka kerana dua calon ternyata pemain yang sangat luar biasa.

“Sekiranya saya yang menang, sudah tentu saya tidak boleh gambarkan bagaimana gembiranya nanti tetapi jika bukan rezeki saya, anugerah ini akan dimenangi oleh pemain yang layak,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : “Saya harap dapat tulis pelbagai lagi cerita dan sejarah buat kelab ini” – Paulo Josue

ABK22 akan berlangsung secara virtual pada Khamis, 15 Disember 2022, jam 9 malam di mana sebanyak 16 kategori dipertandingkan.

Anugerah yang dipertandingkan ialah dan Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).

Selain itu, kategori Penjaring Terbanyak Liga Super, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super, Penjaring Terbanyak Liga Premier, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier, Anugerah Fair Play, Fan XI, Gol Terbaik Liga Malaysia 2022 dan Pasukan Terbaik juga turut diiktiraf.