AKSI memberangsangkan dipamerkan Gabriel Nistelrooy Tamin bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) II di saingan Piala MFL sepanjang musim ini membolehkan dirinya tercalon untuk dua kategori Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK23) yang bakal berlangsung pada hujung Disember depan.

Selepas tampil penuh berkarisma membantu JDT II mara ke final Piala MFL 2023, Gabriel yang digelar The Iban Warriors berada dalam senarai akhir pencalonan Pemain Terbaik Piala MFL dan Penyerang Terbaik.

Menariknya, rakan sepasukan di JDT, Arif Aiman Hanapi turut tercalon bersama pemain lincah Selangor FC, Faisal Halim serta bintang Sabah FC, Darren Lok bagi kategori Penyerang Terbaik.

Perkembangan positif ini segera menarik minat jurulatih pembangunan bola sepak dari Sarawak, Mohd Hakimi Man yang bertanggungjawab mengetengahkan Gabriel untuk hadir trial di JDT kerana menyakini bakat dimiliki pemain asal Miri itu.

Apa yang menarik kata Mohd Hakimi yang juga merupakan pencari bakat, bekas pelajar Kolej Vokasional Miri itu melalui proses yang betul dan naik tahap demi tahap.

May be an image of 10 people and text

Bermula di JDT sebagai pemain JDT IV 2018, JDT III 2019 kerana prestasi yang baik, dia mula turun naik di JDT III / II bermula 2020 sebelum berada dalam pasukan utama di Piala MFL.

“Dulu semasa menghantar Gabriel Nistelrooy trial di JDT FC kami bertiga (Taib dan Ayu) berkongsi tekad dan tanggungjawab dengan menanggung kos pemergiannya.

“Kami begitu meyakini bakat besar Gabriel dan di JDT FC lah tempat yang perlu dia perlu berada untuk menggilap potensi dimiliki.

“Tika kita diulit pelbagai musibah dan tohmahan buruk dalam karier kita sebagai jurulatih, dia menjadi serba salah tetapi tegas kita menyatakan bahawa bukan masa depan saya yang penting tetapi masa depan awak yang lebih penting. Teruskan perjuangan awak.

“Dan kini, perancangan tuhan adalah yang terbaik buat jurulatih. Dengan rendah hati saya katakan, terima kasih JDT kerana memberikan ruang untuk pemain biasa seperti Gabriel berada dalam keluarga besar JDT.” katanya kepada FLASH SUKAN.

Menyentuh pencalonan Gabriel dalam ABK23, bekas guru di Miri, Sarawak itu terharu dan bersyukur kepada Allah kerana didikan terhadap anak buahnya membuahkan hasil selepas mampu berada setanding pemain berkaliber lain di pentas arena bola sepak negara.

“Alhamdulillah syukur pada tuhan.. Sudah di calon pun kita rasa amat bangga apalagi kalau menang. Selamat berjaya dalam karier dan cemerlang dalam kehidupan Gabriel Nistelrooy Anak Tamin.

“Anda inspirasi buat pemain muda, tiada yang mustahil. Teruskan berkerja keras, berdisiplin dan sentiasa kekal merendah diri,” tegas Hakimi.

May be an image of 10 people and text

 

Dia yang mula meniti di bibir penyokong bola sepak tempatan sebenarnya hampir bermain untuk skuad negara pada Piala AFF B-23 yang berlangsung di Thailand Ogos lepas, namun pemain berusia 23 tahun itu sudah terlebih bulan membuatkan tidak cukup syarat justeru tidak layak untuk menyertai kejohanan terbabit.

Walaupun menjadi satu kerugian kepada peminat bola sepak tempatan kerana tidak dapat melihat bakat pemain muda itu bermain dalam saingan Piala AFF B-23, dengan aksi yang konsisten pasti suatu hari nanti beliau akan dipanggil untuk mewakili skuad senior.

Malah, pengendali jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan boleh mengintai untuk meletakkannya dirinya berada dalam radar kem negara di pentas Piala Asia yang bakal berlangsung di Qatar, awal Januari  tahun hadapan.

Tambahan pula, dengan perlawanan pembukaan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Asia/Piala Dunia 2026 antara Malaysia dan Kyrgyzstan pada 16 November ini nanti pasti dapat meluaskan pemilihan pemain penyerang dengan kehadiran Gabriel untuk menguji ketajaman dirinya di hadapan gawang pasukan lawan.