TIGA pemain perseorangan lelaki digugurkan daripada Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas penilaian dibuat mendapati, gagal mencapai prestasi yang baik ketika menyertai kejohanan antarabangsa sepanjang 2023.

Jurulatih perseorang lelaki negara, Hendrawan berkata, keputusan menggugurkan tiga pemain berkenaan bukan perkara mudah untuk diputuskan namun langkah itu perlu.

Tiga pemain yang tersenarai digugurkan terdiri daripada Lee Shun Yang, Chia Jeng Hon dan Rex Hooi Shao Heng.

Menurutnya, ABM bagaimanapun masih memberikan peluang kepada Shun Yang untuk kekal di akademi terbabit namun sebagai rakan sepelatih (sparring).

Lee Shun Yang dan Chia Jeng Hon turut ditawarkan kekal di ABM sebagai rakan sparring kepada pemain senior seperti Ng Tze Yong (gambar), Leong Jun Hao, serta beberapa pemain lagi.

“Ini kali pertama saya rasakan penggunguran paling sukar, biasanya kita hanya gugurkan satu dua sahaja. Keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian prestasi mereka dalam kejohanan serta berdasarkan data yang kita peroleh.

“Shun Yang bagus dalam latihan tetapi apabila menyertai kejohanan, dia tidak boleh bermain dan tidak tahu masalah apa dihadapinya, dari segi mental atau keyakinan diri. Mungkin juga kerana tekanan terlalu tinggi dan disebabkan itu kita tawarkan Shun Yang sebagai rakan pelatih.

Jurulatih perseorangan lelaki elit ABM, Hendrawan akui sukar untuk menggugurkan pemain, namun langkah itu perlu dibuat dalam usaha membentuk rangkaian pemain berkualiti.

“Kita juga memberi tawaran yang sama kepada Jeng Hon untuk menjadi rakan sepelatih di ABM namun masih menunggu keputusan sama ada dia terima atau sebaliknya” katanya.

Tambah Hendrawan, ABM turut membahagikan pemain perseorangan lelaki kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A yang terdiri daripada Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan pemain remaja yang baru dinaikkan ke skuad senior, Eogene Ewe.

Sementara pemain yang berada di Kumpulan B pula adalah Shaqeem Eiman Shahyar, Chua Kim Sheng, Ong Ken Yon, Ong Zhen Yi dan Jacky Kok.

Hooi Shao Heng turut digugurkan daripada Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Chia Jeng Hon digugurkan daripada senarai pemain Akademi Badminton Malaysia (ABM), namun ditawarkan menjadi rakan sparring di akademi terbabit.

“Kita ada ramai pemain perseorangan lelaki mungkin antara lapan atau 10 orang pemain tetapi tidak semuanya boleh jadi juara.

“Tetapi kita juga perlu pemain yang menyokong sistem latihan, maksudnya contoh kita fokus Leong (Jun Hao), Justin (Hoh), (Ng) Tze Yong, dalam masa yang sama kita juga memerlukan orang orang yang boleh menyokong mereka dalam menyediakan kualiti latihan juga.

“Mereka masih boleh memperbaiki kedudukan mereka untuk dimasukkan dalam Kumpulan A, dengan syarat mereka menunjukkan keputusan yang bagus apabila kita menghantar mereka menyertai kejohanan luar,” katanya.

Hendrawan menjelaskan bahawa pemain yang berada Kumpulan A akan diberikan menyertai 12 hingga 14 kejohanan antarabangsa sementara Kumpulan B akan dikurangkan penyertaan mereka iaitu empat sehingga enam kejohanan setahun, berkuat kuasa 2024.