WALAUPUN baharu sebulan menjalani latihan, pelumba remaja wanita negara, Nur Alyssa Mohd Farid membuktikan dia jaguh dalam pembikinan, selepas meraih pingat perak dalam acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 yang berlangsung di Velodrom Nasional Nilai.
Pelumba yang baru berusia 17 tahun dari Muar, Johor itu, mempamerkan kayuhan cemerlang pada aksi final ketika memberi tentangan hebat dua pelumba Korea di hadapannya pada aksi final.
Bagaimanapun, menuju ke garisan penamat, Nur Alyssa yang dilatih bekas pelumba wanita nombor satu negara, Fatehah Mustapa, terpaksa akur tempat kedua selepas menamatkan saingan dengan catatan masa 12.028 saat (s). Pelumba Korea, Na Yunseo menjuarai perlumbaan tersebut dengan catatan 11.998s dan tempat ketiga menjadi milik rakan senegaranya, Kim Doye.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan pada hari ini kerana kita tahu pencabar yang sertai ACC sangat hebat. Tetapi saya tetap cuba untuk lakukan terbaik untuk dapat pingat di sini tetapi dua pencabar dari Korea Selatan benar-benar hebat.
“Apapun, pingat perak yang capai dalam acara keirin ini adalah yang terhebat dalam karier saya kerana ini adaah penampilan pertama saya di pentas ACC dan juga kejohanan antarabangsa.
“Secara keseluruhan saya sangat berpuas hati dengan prestasi saya kerana saya baru menyertai latihan secara penuh dalam tempoh sebulan. Saya harap mampu mengekalkan aksi terbaik sekali lagi esok,” katanya yang mempunyai dua lagi acara untuk memburu pingat, iaitu 500m ujian masa dan pecut.
Satu lagi pingat yang disumbangkan pelumba remaja, Intan Suraya Tokiman ialah melalui perlumbaan scratch wanita di mana dia berjaya merangkul gangsa.
Bagi saingan perlumbaan penyingkiran, Mohd Harrif Saleh hanya berpuas hati di tempat kelapan dalam satu-satunuya acara yang disertai jaguh lebuh raya itu.
Emas dalam acara itu, diraih Eiya Hashimoto dari Jepun, manakala perak menjadi milik pelumba Kazakhstan, Ramis Dinmukhametov dan wakil Taiwan, Leung Chun Wing meraih gangsa.
Bagi saingan para, gandingan Nur Suraiya Muhammad Zamri-Farina Shawati Mohd Adnan berjaya membolot emas dalam acara satu kilometer ujian masa wanita selepas mencatat masa satu minit 11.47 saat (s), selepas mengetepikan rakan senegara, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais-Nurul Suhada Zainal (1:11.552s).
Gangsa milik wakil Indonesia, Sri Sugiyanti-Ni’mal Maghfiroh selepas mencatat masa 1:12.974s.
Dalam pada itu, skuad berbasikal para beraksi cemerlang, menyumbang sebutir emas, dua perak dan dua gangsa.
Skuad negara mendominasi acara 1 kilometer (KM) ujian masa wanita B berbasikal para B, dengan Nur Suraiya Muhamad Zamri merangkul emas dengan catatan satu minit 12.501 saat, manakala Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais (1:12.704s) meraih perak.
Gangsa menjadi milik wakil dari Indonesia, Sri Sugiyanti (1:16.740s).
Saingan 1KM ujian masa lelaki B pula, menyaksikan Mohd Khairul Hazwan Wahab (1:04.530s) meraih perak, manakala Kazuhei Kimura (1:03.546s) dari Jepun dan pelumba Iran, Mohammad Dalir Heidarabadi (1:05.361s) masing-masing meraih emas dan gangsa.
Dua lagi pingat gangsa untuk Malaysia disumbangkan oleh Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin menerusi acara scratch lelaki para C1-C3 dan Zuhairi Ahmad Tarmizi dalam acara scratch lelaki para C5.