THE Pocket Rocketman Datuk Azizulhasni Awang berada di landasan terbaik merampas semua pingat emas di menangi di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2020 di Korea Selatan, apabila tiada masalah ke separuh akhir acara pecut lelaki, dalam aksi berlangsung di Veledrom Nasional, Nilai.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berpeluang merampas gelaran jaguh Asia selepas mencatatkan 9.523 saat (s) untuk menduduki tangga pertama peringkat kelayakan mengatasi 22 pencabar yang lain.

Catatan itu mengatasi rekod kebangsaan 9.548s yang dilakukannya di Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman pada 2020.

Lebih menarik, catatan itu menghampiri rekod Asia yang dipegang Yuta Wakimoto iaitu, 9.518s yang dicipta di Olimpik Tokyo.

Azizulhasni mencatat masa terpantas pusingan kelayakan acara pecut, sekali gus mengatasi rekod kebangsaan miliknya sendiri yang dilakukan di Kejohanan Dunia Berlin, Jerman 2020.

Sementara itu, dalam saingan suku akhir sebentar tadi, Azizulhasni tidak berdepan masalah mengatasi pelumba Taiwan, Kang Shih Feng 2-0.

“Syukur Alhamdulillah kerana di peringkat kelayakan saya mencatat masa yang tidak dijangka. Prestasi terbaik ini di bawa sejak berlumba di Hong Kong bulan lalu, di mana ketika itu perlumbaan sangat padat, berlangsung berturut-turut.

“Ketika saingan kelayakan saya turun sebagai pelumba kedua terakhir dan terkejut melihat catatan pelumba lain… 9.6s, 9.7s . Disebabkan itu saya hanya fokus untuk berada dalam kelompok tiga terbaik. Saya seperti berada dalam dunia sendiri saja sebelum memulakan perlumbaan, memberi fokus sepenuhnya dan akhirnya berjaya menyempurnakan tugas dengan baik.

Azizulhasni Awang berharap momentum ini terus memuncak.

“Memang saya menjalani latihan tetapi kayuhan flying (kelayakan) tidak sama seperti pecut (bersaing dengan pelumba lawan). Saya terkejut dengan catatan 9.5s tetapi tetap gembira, manakala dalam saingan suku akhir pula saya tidak memberikan aksi 100 peratus.

“Aksi tadi hanya 80 peratus taktik kerana saya mahu menyimpan tenaga untuk esok. Esok adalah perlumbaan sebenar, apabila saya menentang Kento Yamasaki (Jepun). Saya harap semuanya mengikut seperti yang dirancang,” kata Azizulhasni yang berusia 36 tahun.

Bagaimanapun, hasrat untuk melihat seorang lagi wakil negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom ke separuh akhir tidak kesampaian selepas dia tumpas 1-2 kepada Koehi Terakasi (Jepun).

Lebih sedekad berbakti untuk negara, Azizulhasni sudah pun berjaya mengumpul 10 pingat emas di kejohanan ini, dengan kali terakhir pada edisi 2020 di Jincheon, Korea Selatan menerusi acara pecut.