HAMPIR semua pasukan yang bersaing di Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 tiba sejak Sabtu lalu, dalam usaha membiasakan diri dengan suasana.
Malah, difahamkan, latihan rasmi sudahpun bermula hari ini.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, beberapa kuasa besar seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong telah tiba sejak Sabtu lalu.
“Taiwan merupakan kontinjen terawal yang sampai ke negara ini pada 30 Mei lalu. Malah, barisan pelumba dari Taiwan sudah mula berlatih sebaik mereka tiba di Malaysia.
“Setakat hari ini, apa yang telah dimaklumkan kepada saya oleh pihak sekretariat, hampir semua negara peserta sudah sampai, hanya tiga negara peserta iaitu Thailand, Indonesia dan India belum tiba.
“Saya jangkakan kesemua pelumba dari ketiga-tiga negara itu akan sampai hari ini kerana sesi latihan rasmi akan bermula Isnin dan Selasa nanti,” katanya.
ACC 2023 bakal berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan dari 14 hingga 19 Jun ini, membabitkan saingan daripada 17 negara termasuk Malaysia selaku tuan rumah.
Selain Cina, Korea dan Jepun, negara lain yang bertanding ialah Kazakhstan, Macau, Arab Saudi, Singapura, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Uzbekistan, Iran dan pendatang baharu, Laos.
Daripada senarai negara peserta, seramai lebih 400 pelumba termasuk 60 pelumba para (non-able) bakal mengambil bahagian pada kejohanan yang menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.
“Sudah tentu kita mengalu-alukan kehadiran para pelumba terbaik dari rantau Asia bertanding pada kejohanan kali ini selepas kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun 2018.
“Saya percaya kejohanan kali ini menjadi pelumbaan terbaik Asia dalam memungut mata penting untuk melayakkan mereka beraksi pada Sukan Olimpik di Paris tahun depan.
“Begitu juga dengan barisan pelumba negara, yang pastinya mahu mengambil peluang masing-masing beraksi di tempat sendiri bagi mencipta kejayaan di tanah air tercinta.”
Tumpuan peminat tempatan sudah pasti terarah kepada dua jagoan – Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang menjadi sandaran menyambar emas dalam acara yang mereka sertai.
Azizulhasni sebelum ini telah menyatakan mahu mengukuhkan lagi legasinya di pentas ACC selepas berjaya merangkul 10 pingat emas, 7 perak dan 6 gangsa sepanjang menyertai kejohanan berprestij Asia itu sejak tahun 2007.