REKOD kebangsaan menjadi pertaruhan pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam acara 500 meter (m) ujian masa individu wanita.
Berazam mahu memecah rekod milik Fatehah Mustapa, perlumbaan pada Ahad itu bakal menjadi serampang dua mata, kerana Izzah juga mahu mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) tahun lalu, di New Delhi, India.
Misi besar di ACC 2023 kali ini, amat penting buat Nurul Izzah, untuk mengikir namanya dalam sejarah sebagai pemegang rekod baharu kebangsaan acara 500m ujian masa wanita, kerana acara terbabit tidak akan dipertandingkan lagi, selepas ini.
“Alhamdulilah ketika ini saya berjaya pecah rekod kebangsaan acara pecut, selepas melakukan 10.903s pada sesi kelayakan. Jadi, saya mahu lakukan sebaik yang boleh dalam acara seterusnya iaitu keirin dan 500m nanti.
“Dalam acara 500m saya sasar pecahkan rekod milik Fatehah, 34.54s, kerana selepas temasya Sukan Olimpik nanti, acara tersebut mungkin digugurkan. Jadi, saya mahu pegang rekod 500m ini dan mengatasi rekod Fatehah sebelum ini iaitu 34.542s,” katanya.
Dalam pada itu, pelumba berusia 20 tahun itu turut mengakui dia akan memberi tumpuan pada acara keirin yang akan berlangsung pada Ahad ini kerana meletakkan sasaran peribadinya untuk meraih pingat.
“Kalau boleh saya mahu meraih pingat dalam acara keirin tetapi saya perlu berusaha keras kerana banyak persaingan terutama dari Jepun dan China. Jadi, saya mahu buat terbaik,” ujarnya.