SELEPAS berjaya memimpin dua pelumba muda memenangi pingat gangsa acara pecut berpasukan, mungkin esok giliran Muhammad Fadhil Mohd Zonis mencipta kejayaan atas namanya sendiri, apabila dijadual beraksi dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa (ITT), Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023.

Berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan pada acara pecut berpasukan itu, Fadhil dijangka mampu menaiki podium dan tidak mustahil memenangi pingat emas dalam ujian masa.

Ketua jurulatih trek berbasikal kebangsaan, John Beasley berkata, Fadhil kini berada di kemuncak prestasi dan menjangkakan mampu mencatat masa terbaik pada aksi 1km ujian masa esok.

“Fadhil ketika ini berada di prestasi terbaik sepanjang keriernya… dia sudah kembali ke tahap terbaiknya dan saya menjangkakan dia akan melakukan masa yang sangat baik pada 1km ujian masa,” kata Beasley, yang cukup yakin melihat prestasi semasa anak buahnya itu, terutamanya ketika mengetuai pasukan pecut baharu.

Prestasi di Hong Kong dua minggu lalu dan ACC 2023 di Nilai kali ini, bagai membuka jalan untuk Muhammad Fadhil Mohd Zonis menamatkan kermarau emas ACC.

Malah, Fadhil bertekad menghadiahkan pingat emas buat kem Malaysia dalam acara tersebut  yang kali terakhir dimenangi Mohd Edrus Yunus pada ACC 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras.

Dia sendiri menyedari peningkatan prestasinya itu berkata: “Berdasarkan pemasaan dalam aksi pecut berpasukan, prestasi saya di tahap terbaik dan sangat selesa untuk bermain dalam acara ujian masa nanti.

“Malah catatan pelumba terakhir pecut berpasukan lalu, saya adalah pelumba terpantas.”

Atlet kelahiran Klang itu, memegang rekod 1km ujian masa di peringkat Asia Tenggara dengan catatan 1 minit (m) 00.305 saat (s) yang dilakukannya di Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman pada Februari 2020.

Catatannya itu, tidak jauh dari rekod Asia, 59.796s yang dipegang Yuta Obara dari Jepun, yang dicipta di Kejohanan Dunia di Perancis tahun lalu.

Muhammad Fadhil Mohd Zonis yakin beraksi di hadapan penyokong sendiri dan motivasi kejayaan rakan sepasukan mampu menjadi suntikan semangat buatnya memburu emas pertama di ACC 2023.

“Saya berlumba di laman sendiri, gelanggang sendiri, jadi sudah tentu saya lebih bermotivasi untuk memenangi perlumbaan itu.

“Tapi saya sedar saingan tahun ini lebih sukar kerana pelumba dari setiap negara, sedang meningkatkan prestasi masing-masing dalam memastikan memungut sebanyak mungkin mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris, tahun hadapan.

“Pesaing saya dalam 1km ujian masa, tentunya Jepun dan China yang sentiasa menjadi petualang, ditambah Jepun kini memegang rekod Asia, manakala seorang pelumba China mempunyai catatan masa yang amat hampir dengan saya,” kata Fadhil.

Untuk rekod, Fadhil dua kali memenangi pingat perak acara 1km ujian masa di ACC, iaitu pada edisi 2020 dan 2022.

Pada tahun 2020 di Jincheon, Korea Selatan, Fadhil terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, dibelakang pemenang Andrey Chugay dari Kazakhstan.

Manakala pada 2022 di New Delhi pula, Fadhil tewas kepada Yuta Obara.

Rekod dunia dalam acara ini dipegang pelumba Perancis, Francois Pervis dengan catatan 56.636s.