SHEIKH Muhammad Taslim Shaikh Mohd Raziff mahu bawa pulang pingat pada penampilan pertamanya di Kejohanan BMX Racing dan Freestyle Asia 2023 (ACC BMX 2023).
Mengenang ‘perit jerih’ memburu meraih pingat di Sukan Sea Filipina 2019, dia tidak mahu peluang kali ini disia-siakan tanpa menaiki podium.
ACC BMX 2023 membuka tirainya esok hingga Selasa di Manila, mahu menjadikan aksi pertama di kejohanan itu sebagai kenangan yang indah untuk dikenang.
Dia yang dikenali sebagai Botak, memenangi pingat gangsa di Sukan Se Manila berkata, cabaran yang bakal dilaluinya kali ini cukup besar namun tekanan yang dirasainya ketika menjadi tunjang kepada pungutan pingat di temasya Asia Tenggara empat tahun lalu, nyata menjadi pembakar semangat buat dirinya.
“Saya masih ingat detik Sukan SEA 2019. Ketika itu pengurus pasukan (Amrun Misnoh) datang memberi semangat kepada saya sebelum memulakan acara. Arwah hanya berkata gangsa pun sudah memadai,” kata juara sulung kejohanan BMX Freestyle Kebangsaan 2023 itu.
“Sebenarnya saya boleh capai kedudukan yang lebih baik pada ketika itu. Bagaimanapun saya tahu sangat getir kerana semua pihak di Malaysia mengharapkan pingat daripada saya. Tekanannya hanya Allah sahaja yang tahu.
“Bagaimanapun akhirnya saya berjaya raih pingat gangsa. Arwah pernah berkata kepada saya pingat gangsa yang saya menang itu umpama emas kepada kem Malaysia.”
Botak dalam pada itu bakal turun ke gelanggang dengan kecederaan di bahu kanan namun pengurus pasukan, Becky Zulkepli mempunyai keyakinan penuh terhadapnya kerana yakin tahap prestasi pelumbanya itu sangat mantap.
“Botak cedera di bahu kanan. Saya harap ia tidak mengganggu persembahan dan konsentrasi Botak. Saya mahu Botak raih pingat kerana saya tahu sejauh mana keupayaannya,” kata Becky.
“Nasib baik kami berlepas awal ke Tagaytay. Kami tiba di Tagaytay pagi Rabu dan nampaknya Botak dan MatBum (Wan Mohamad Shah) semakin selesa dengan cuaca sejuk di sini,” katanya.