KUALA Lumpur City FC telah diundi dalam Kumpulan B untuk Kejohanan Asean Club Championship (ACC) Shopee Cup 2024-25 yang dilabel sebagai kumpulan maut berdasarkan pasukan-pasukan yang telah diundi.

Selain KL City, juara Liga 1 Indonesia, Borneo Samarinda dan juara Liga Thailand, Buriram United serta wakil Vietnam, Cong Anh Ha Noi FC, Kaya Iloilo dari Filipina dan wakil Singapura, Lion City Sailors.

Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard mengakui pasukannya diundi dalam kumpulan yang sukar namun percaya pengalaman yang ada para pemain ketika Piala AFC 2022 akan membantu The City Boys untuk pergi sejauh mungkin dalam kejohanan ini.

Stanley Bernand akui kumpulan yang sukar tetapi yakin dengan kemampuan pasukan KL City 

“Amat jelas berbanding Kumpulan A, kami diundi dalam kumpulan maut tetapi kami berbangga dan bersemangat untuk beraksi dalam kejohanan yang unik ini dan mahu merasai keseronokan beraksi tanpa memikirkan siapa lawan kami.

“Pengalaman kami di Piala AFC pada 2022 dengan memenangi peringkat zonal Asean sebelum layak ke final dan mendapat tempat kedua akan memainkan peranan penting dalam pengalaman para pemain kerana mereka tahu bagaimana rasanya beraksi di tempat lawan pada peringkat Asia,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN. 

Stanley juga turut menyatakan yang dia lebih gemar KL City hadir sebagai pasukan bukan pilihan tetapi yakin pasukan kendalian Miroslav Kuljanac ini mampu untuk layak ke peringkat seterusnya melalui dua tempat teratas kumpulan.

Keputusan undian ACC Shopee Cup 2024-25

“Borneo Samarinda boleh dilihat sebagai pasukan yang baik berdasarkan pencapaian mereka dalam liga musim ini dan semua mengetahui tentang Buriram United, salah satu pasukan terbaik di Asean. Kami sentiasa selesa sebagai underdog tetapi tetap mampu bersaing di peringkat yang tinggi.

“KL City juga sentiasa berharap dapat layak ke peringkat seterusnya tetapi kita akan menunggu dahulu jadual rasmi untuk melihat perlawanan mana yang akan dilangsungkan di tempat lawan untuk lebih memahami konteks kesukaran dalam kejohanan ini,” jelasnya.

Shopee Cup akan berlangsung dari Julai 2024 hingga Mei 2025 yang bakal menyaksikan 12 pasukan merebut juara kelab Asia Tenggara dengan tiga perlawanan akan dilangsungkan di tempat sendiri dan tiga lagi aksi akan dimainkan di tempat lawan.