TERENGGANU FC meletakkan sasaran realistik sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir selepas diundi dalam Kumpulan A Kejohanan ACC Shopee Cup 2024/25 yang diadakan di Ho Chi Minh City, Vietnam pada Khamis.

Skuad Penyu diletakkan terus dalam Kumpulan A kerana syarat kerajaan negeri yang melarang sebarang aktiviti keramaian pada malam Jumaat yang dituruti oleh pihak penganjuran, Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Mohd Sabri Abas nyata gembira dengan keputusan undian yang dilihat lebih terbuka berbanding Kumpulan B yang dilabel sebagai kumpulan maut dan tidak menganggap kejohanan ini akan menjadi beban terhadap penjadualan musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Mohd Sabri Abas (kredit foto: TFC)

“Ianya satu undian yang baik buat TFC berbanding satu lagi kumpulan. BG Pathum sudah tentu menjadi lawan yang paling sukar dengan pengalaman mereka bermain di Liga Juara-Juara AFC sebelum ini selain PSM Makassar yang juga seperti kami mempunyai pengalaman beraksi di pentas Piala AFC.

“Wakil Vietnam, Thanh Hoa di bawah bimbingan Velizar Popov juga adalah satu pasukan yang bagus dan sudah tentu akan menjadi satu lawan yang sukar buat kami di peringkat kumpulan.

“Kami juga tidak melihat kepadatan jadual akan menjadi satu isu kerana kita sudah mempunyai pengalaman ketika di Piala AFC dan ini bukanlah alasan buat Terengganu untuk meletakkan sasaran realistik ke separuh akhir,” katanya selepas berakhir majlis undian.

Keputusan undian ACC Shopee Cup 2024-25

Dua lagi pasukan yang akan menyertai Terengganu FC dalam Kumpulan A adalah pemenang Play Off 1 antara wakil Laosz Young Elephants atau juara Liga Kemboja, Svay Rieng FC dan pemenang Play Off 2 antara kelab Brunei, Kasuka FC dan wakil Myanmar, Shan United.

Shopee Cup 2024-25 akan berlangsung dari Julai 2024 hingga Mei 2025 dengan 12 pasukan dari seluruh Asia Tenggara akan bersaing merebut trofi berprestij sekali gus bergelar juara kelab Asean pertama dalam format baharu ini.