KETUA jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil optimis jangkaan penyokong untuk pasukan kendaliannya mendapat keputusan baik sentiasa ada apabila beraksi di laman sendiri.
Dia menambah pasukan Merah Kuning itu selalunya berjaya mendapatkan keputusan yang agak baik apabila bermain di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan ingin Selangor untuk teruskan momentum itu dalam pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 esok.
“Perlawanan esok merupakan perlawanan yang berbeza. Ia bukan perlawanan liga tetapi satu perlawanan di pentas yang berbeza (ACL2).
“Kami teruja untuk bermain di hadapan penyokong sendiri dalam sesebuah perlawanan di pentas yang berbeza selepas sekian lama dan kami ingin memberi satu permainan yang baik dan cuba untuk mendapatkan keputusan positif.
“Saya menjangkakan perlawanan pada malam esok satu perlawanan yang agak sukar namun cukup menarik untuk disaksikan. Cebu yang tumpas pada perlawanan pertama dengan jurang skor yang agak besar pasti mahu bangkit semula,” katanya dalam sidang media pada Rabu.
Kapten pasukan, Safuwan Baharudin pula berkata motivasi setiap pemain dalam pasukan dalam keadaan yang optimum dan mereka tidak akan memandang rendah terhadap pasukan Filipina itu.
Selangor FC bakal turun sebagai tuan rumah untuk menentang Cebu FC dalam aksi kedua Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25 di Stadium MBPJ jam 8 malam.