PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva berjaya menutup mulut pengkritik dengan satu lagi gol berkelas dunia yang membantu JDT menang ke atas Ulsan Hyundai 2-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Bergson mendapat kritikan apabila gagal menjaringkan gol dan kelihatan bergelut dalam penampilan sulung di ACL musim lalu tetapi tahun ini dia membuktikan kemampuan dengan empat gol dalam dua perlawanan.

Bercakap kepada wartawan pada sidang media selepas perlawanan, Bergson berkata dia sudah menukar mentaliti dan bekerja lebih kuat bersama-sama teman sepasukan untuk menghadapi perlawanan yang sukar.

“Tahun ini saya mengubah mentaliti saya untuk kelab ini. Saya bekerja dengan lebih serius dengan bantuan teman sepasukan. Tugas saya adalah untuk memberikan segala-galanya pada setiap perlawanan yang dihadapi,” jelasnya.

Malah Bergson berjaya menepis serangan psikologi yang dilemparkan oleh jurulatih Ulsan Hyundai Hong Myung Bo yang mengakui sangat kenal dengan corak pemain kelahiran Brazil ini sejak beraksi di Liga Korea Selatan satu ketika dulu.

“Jurulatih lawan mengatakan dia tahu siapa saya ketika saya beraksi di sana tetapi sebenarnya tidak. Di sini, saya adalah Bergson yang baharu dan malam ini saya perkenalkan diri saya kepadanya,” tambah Bergson.

Bergson sekali lagi dipilih menjadi pemain terbaik perlawanan dan kini fokusnya kepada perlawanan menentang Kawasaki Frontale pada Khamis.