PENDAHULU Liga Jepun, Kawasaki Frontale kembali ke landasan kemenangan apabila membelasah Guangzhou FC 8-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC (ACL) di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, petang Isnin.

Selepas diikat Ulsan Hyundai pada perlawanan pertama, Kawasaki tidak memberikan peluang kepada skuad muda Guangzhou apabila mendahului 5-0 pada separuh masa pertama sebelum menambah tiga lagi jaringan pada babak kedua.

Kei Chinen, Shintaro Kurumaya dan Yu Kobayashi masing-masing menjaringkan dua gol manakala satu dari Ten Miyagi dan pemain sensasi Thailand, Chanatip Songkrasin untuk mengutip tiga mata penuh.

Malang berganda buat Guangzhou FC apabila sekali lagi menjadi mangsa kenduri gol selepas tewas kepada wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim 5-0 pada perlawanan Jumaat lalu.

Ia merupakan kekalahan terbesar buat Guangzhou FC manakala ianya adalah kemenangan terbesar buat Kawasaki Frontale dalam sejarah penyertaan mereka di pentas ACL.

Pemain-pemain Kawasaki Frontale meraikan kemenangan besar ke atas Guangzhou FC. Foto: AFC

Wakil Jepun itu menguasai sepenuhnya permainan dengan 27 percubaan dan 15 percubaan tepat berbanding hanya satu percubaan dari Guangzhou FC. Kawasaki juga mempunyai 76.6 peratus penguasaan bola.

Hasil kemenangan itu, Kawasaki kita menghuni tangga teratas Kumpulan I dengan empat mata namun kedudukan mungkin berubah selepas perlawanan antara JDT dan Ulsan Hyundai malam ini.

Sementara itu, Kawasaki Frontale akal  bertemu JDT pada Khamis di Stadium Sultan Ibrahim manakala Guangzhou FC akan berhadapan Ulsan Hyundai di Larkin untuk melengkapkan pusingan pertama peringkat kumpulan.