KELAB Kawasaki Frontale akan turun sebagai pasukan pilihan namun bagi Ketua Jurulatih Toru Oniki berharap agar pemainnya dapat bermain dengan corak permainan sendiri.
Jelas Oniki (gambar), dia memang menyedari bahawa lawannya Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah pasukan yang baik.
“Saya sudah tahu dari awal bahawa Johor Darul Ta’zim adalah pasukan yang baik dan saya berharap agar kami dapat mengekalkan cara permainan kami dengan mengekalkan penguasaan bola.
“Ini kerana JDT mempunyai kualiti yang sangat baik dan sukar untuk menandingi mereka,” ujarnya pada sidang media pra perlawanan, Rabu.
Ditanya sama ada Kawasaki mempunyai kelebihan kerana telah melakukan penggiliran pemain dalam dua perlawanan lalu, Oniki tidak merasakan ianya adalah satu kelebihan.
“Sejak datang ke sini, kami mempunyai kesukaran dari segi cuaca dan saya tidak menganggap peluang menggilirkan pemain adalah satu kelebihan buat kami.
“Namun stadium di sini empunyai kualiti padang yang baik dan saya berharap pemain saya tidak terganggu dengan sorakan padu oleh penyokong tuan rumah,” tambahnya.
Dalam pada itu, salah seorang ‘ayam tambatan’ Kawasaki, Asahi Sasaki juga bersetuju dengan jurulatihnya mengenai mengenai keadaan padang stadium ini.
“Kami perlu mengurangkan kesilapan dan perlu berhati-hati ketika beraksi dan saya tidak sabar untuk beraksi esok.
“Ianya bukan mudah untuk menyekat JDT kerana mereka mempunyai pemain yang baik dan sangat tersusun dan kami juga perlu tersusun untuk menentang mereka.
Sementara itu, kedua-dua penyokong sudah memulakan perang psikologi di laman sosial dengan kelab penyokong JDT, Boys of Straits berbalas komen dengan laman sosial rasmi Kawasaki Frontale.
Kedua-dua penyokong dilihat sudah melaungkan amaran awal dan yakin dengan kemampuan skuad masing-masing untuk pertemuan yang dijangka sengit di Stadium Sultan Ibrahim.