KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora menjangkakan perlawanan yang lebih sengit bakal dihadapi anak buahnya apabila berdepan pendahulu Liga J, Kawasaki Frontale dalam perlawanan ketiga Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, pada
Mora yakin dengan kemampuan Harimau Selatan berhadapan gergasi Asia itu biarpun sedar ianya bukan tugas mudah.
“Ianya pasti akan menjadi perlawanan yang sukar buat kami. Kawasaki adalah pasukan yang bagus. Kami telah melihat aksi mereka dalam dua perlawanan lalu dan mereka mempunyai pemain yang tajam dalam setiap bahagian.
“Mereka mempunyai tiga pemain dari Brazil yang cukup bagus di bahagian serangan, tengah dan sayap. Mereka bermain corak yang lebih kurang sama dengan Ulsan iaitu suka mengawal bola dan kami sudah menjalani pemulihan dan akan kami menjangkakan akan memberikan yang terbaik pada perlawanan esok,” jelasnya pada sidang media pra perlawanan, Rabu.
Dalam pada itu, Mora turut mendedahkan bahawa dia tidak gusar dengan siapa penjaga gol sama ada Izham Tarmizi atau Farizal Marlias kerana kedua-dua pemain ini berada pada prestasi yang baik.
“Haziq sentiasa memberikan yang terbaik apabila khidmatnya diperlukan. Jika dia boleh beraksi dengan satu tangan, sudah pasti saya akan turunkannya. Tetapi sama ada Izham atau Farizal bermain, ianya akan baik sahaja,” jelasnya.
Selain itu, Mora sedar beberapa pemain sudah merasai keletihan akibat jadual yang padat, namun dia yakin semua pemain JDT adalah profesional dan sentiasa bersedia untuk diturunkan.
“Ianya bukan rahsia jika ada antara pemain yang keletihan. Jika kami perlu untuk merombak pasukan, kami akan lakukan. Di JDT, ianya bukan tentang individu tetapi tentang pasukan. Siapa yang cergas untuk perlawanan, akan mendapat peluang untuk diturunkan.
“Kesemua pemain JDT adalah atlet super. Mereka mempunyai mentaliti kemenangan. Mereka sedar akan legasi dan sejarah kelab ini. Atas sebab inilah mereka sentiasa mencipta sejarah dan memenangi piala. Kami akan lakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan,” tambah Mora.
JDT akan bertemu Kawasaki Frontale dua kali dalam tempoh enam hari dan kemenangan ketiga pastinya akan memberikan JDT laluan yang lebih mudah ke peringkat seterusnya.