JOHOR Darul Ta’zim (JDT) akan hanya fokus kepada diri sendiri dan tidak akan mengharapkan keputusan perlawanan lain bagi memastikan mereka meraih tiga mata dalam pertemuan dengan Guangzhou FC pada Rabu.
Pengendali JDT, Benjamin Mora yakin dengan kemampuan barisan pemainnya walau siapa pun yang diturunkan dalam misi mencari kemenangan dalam Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC (ACL).
“Ianya adalah satu lagi perlawanan yang baharu dan kami akan turun untuk memastikan tiga mata penuh dan gol awal sangat penting bagi menentukan hala tuju permainan.
“Kami juga tidak akan mengharapkan keputusan perlawanan antara Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale yang bermula awal kerana apa yang penting adalah kami perlu memiliki tiga mata sebelum kita menggunakan matematik.
“Walaupun kami pernah menewaskan Guangzhou FC pada perlawanan pertama, tetapi skuad China ini pastinya ingin menjaga reputasi mereka dan saya menjangkakan satu saingan yang sengit,” ujarnya pada sidang media pra perlawanan pada Selasa.
Sementara itu, kapten Farizal Marlias memberitahu, siapa pun yang akan diturunkan tahu perkara perlu dilakukan dan misi utama pasukan adalah untuk mendapat tiga mata.
“Semua pemain mempunyai hubungan yang rapat dan kami sering membantu satu sama lain. Sama seperti apa yang dikatakan oleh jurulatih, esok adalah permainan yang baharu dan misi kami adalah tiga mata,” jelas Farizal.
JDT dijangka akan kembali menurunkan skuad terbaik esok kerana tiga mata adalah remedi terbaik selepas tewas mengejut 0-5 kepada Kawasaki Frontale, Ahad lalu susulan Mora melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama.
Kemenangan ke atas Guangzhou FC dijangka akan digunakan sebagai momentum sebelum menentang Ulsan Hyundai dengan JDT berpeluang mara ke pusingan 16 terbaik sekaligus mencipta sejarah baharu kelab dan juga bola sepak Malaysia.