PENGENDALI  Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tidak kecewa malah mempertahankan pemilihan skuad yang diturunkan ketika tewas 0-5 kepada Kawasaki Frontale dalam aksi Liga Juara-Juara AFC 2022 (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

“Mereka adalah lawan yang cukup sukar. Kami merehatkan tujuh pemain utama supaya mereka dapat melakukan pemulihan. Ini adalah satu pengalaman yang baik buat pemain-pemain muda. Ini adalah ACL dan sukar untuk mengekalkan tahap permainan. Saya bangga dengan semua pemain.

“Saya tidak kecewa. Kami memang menjangkakan untuk memberi saingan dan bermain bola sepak. Kita bolos dengan gol yang baik pada babak awal dan gagal untuk kembali dalam perlawanan.

“Kebanyakan pemain tidak mempunyai banyak minit permainan di dalam ACL mahupun liga. Ianya satu pengalaman yang baik dan mereka sudah lakukan apa yang mereka mampu. Saya akan bercakap dengan mereka dan kami bakal mengakhiri kempen ini dengan penuh bangga,” jelasnya selepas perlawanan semalam (Ahad).

Jurulatih berasal dari Mexico ini juga mahu semua pemain bermula semula kerana dia dan pemain sentiasa percaya akan kemampuan mereka sendiri untuk layak ke peringkat seterusnya.

“Saya percaya. Sentiasa percaya. Kami mempunyai dua lagi perlawanan dan akan mencuba sehabis baik. Kami juga akan cuba pulih sebaik mungkin. Kami ingin memberikan kegembiraan kepada Bangsa Johor dan juga Tunku Mahkota Johor (TMJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim). Kami mahu layak ke peringkat seterusnya,”ujar Mora.

Ditanya sama ada JDT sudah boleh menyamai tahap pasukan gergasi Asia, Mora nyata yakin bahawa kini JDT sudah semakin menghampiri tahap yang diperlukan untuk bertanding di ACL.

“Kami sudah menentang kelab nombor satu Asia ini dua kali dan kami semakin hampir. Kami tidak jauh seperti sebelum ini. Ini adalah bola sepak dan kami sedang berusaha ke arah merapatkan jurang itu.”

JDT bakal bertemu Guangzhou FC pada Rabu dan Mora tetap berwaspada dengan kelab China ini meskipun sudah berjaya membenam mereka 5-0 pada perlawanan pertama minggu lalu.