KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora yakin dengan kemampuan pemain-pemainnya untuk menghadapi gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC, pada Isnin.
Mora sedar akan kekuatan bekas juara dua kali ini tetapi mereka sudah bersedia untuk memberikan cabaran getir dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim nanti.
“Tidak dinafikan Ulsan adalah pasukan yang hebat dan kami akan jangkakan mereka akan beraksi lebih baik jika dibandingkan dengan perlawanan pertama kerana mereka beraksi dalam cuaca yang panas di Larkin,” ujarnya pada sidang media pra perlawanan pada Ahad.
Malah Mora juga mahu melihat JDT mencipta sejarah bersama barisan pemain yang berkualiti dan sedia diturunkan pada bila-bila masa.
Sementara itu, pemain pertahanan dari Australia, Shane Lowry pula mahu memastikan pintu gol JDT tidak dibolosi dan tidak sabar untuk menghadapi kelab gergasi dari Korea Selatan itu.
“Tugas saya dan barisan pertahanan adalah untuk memastikan benteng kami kebal dan sukar ditembusi serta kami juga mahukan gawang kami tidak dibolosi.
“Kami hanya akan fokus kepada diri kami dan menjalankan tugas mengikut apa yang diarahkan oleh jurulatih. Ini adalah satu permainan yang hebat dan kami sudah bersedia untuk menghadapinya.
“Bermain di tempat sendiri menambahkan lagi keterujaan kami dan kami mahu membuktikan JDT mampu memberikan saingan kepada pasukan lawan,” ujarnya.
Pada perlawanan pembukaan Jumaat lalu, JDT berjaya mencatat kemenangan bergaya menewaskan Guangzhou FC 5-0 manakala Ulsan Hyundai diikat Kawasaki Frontale 1-1.