HASRAT Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengulangi pencapaian layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) tertutup apabila tewas 0-5 kepada Kawasaki Frontale dalam aksi kelima Kumpulan I di Stadium Todoroki Athletics, Kawasaki.

Esteban Solari mempertaruhkan barisan terbaik yang menewaskan Ulsan Hyundai pada aksi keempat di Stadium Sultan Ibrahim sebelum ini berjaya menyaingi permainan Kawasaki namun jaguh Jepun itu lebih prolifik di hadapan gol.

Kawasaki Frontale hanya memerlukan lapan minit untuk berada di depan apabila permainan dengan hantaran dekat memerangkap pertahanan Harimau Selatan untuk Akihiro Einaga mudah menolak masuk gol pembukaan tuan rumah.

Gol itu yang dijangka mematahkan semangat para pemain JDT nyata tidak menjadi kenyataan sebaliknya anak-anak buah Esteban Solari dilihat lebih banyak mengatur gerak dalam aksi hingga yang turut ditonton pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hingga memaksa tuan rumah sedikit bertahan.

Beberapa percubaan daripada Bergson Da Silva dilihat mampu memberikan hasil buat JDT namun ianya gagal menemui sasaran untuk menjaringkan gol penyamaan dan keputusan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, skrip yang sama berulang buat JDT apabila dibolosi seawal lima minit bermula dari hantaran lintang yang disudahkan Leandro Damiao untuk kedudukan 2-0.

Berselang 10 minit ketajaman hantaran lintang Kawasaki sekali lagi menjadi duri dalam daging buat JDT apabila kali ini Marcinho pulak melonjak untuk menanduk masuk gol ketiga melepasi kawalan pertahanan JDT yang tidak mempunyai jawapan.

Kawasaki menambah derita JDT dengan gol keempat menerusi pemain yang dibawa masuk, Yu Kobayashi yang menyudahkan satu lagi hantaran lintang meskipun Syihan Hazmi berjaya menghalang percubaan pertama namun tidak mampu menghalang percubaan kedua.

Seakan tidak cukup dengan empat gol, Kawasaki menambah gol kelima menerusi Miki Yamane pada minit ke-88 untuk melengkapkan kemenangan bergaya sekaligus layak ke pusingan 16 terbaik sebagai juara Kumpulan I.

Kekalahan ini menyaksikan JDT kekal di tangga ketiga dengan enam mata selepas lima perlawanan dan kini hanya akan melengkapkan aksi keenam bertemu BG Pathum pada 12 Disember di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Dalam satu lagi perlawanan, juara Korea Selatan, Ulsan Hyundai menang 3-1 menewaskan BG Pathum dan mungkin berpeluang layak ke peringkat seterusnya atas tiket tiga pasukan tempat kedua terbaik.