WIRA Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Akhyar Rashid meluahkan keterujaannya apabila jaringan tepat yang dibuat pada detik terakhir sebelum tamat perlawanan itu berjaya melepasi gawang gol Ulsan Hyundai.
Menariknya, penjaga gol Ulsan itu juga bermain buat skuad kebangsaan Korea Selatan dan terpaksa dimalukan dengan rembatan Akhyar dalam saingan Liga ACL 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa.
Menurut anak jati Kedah itu, dia juga tidak menyangka dapat menjaringkan gol pada malam bersejarah yang sekali gus turut membantu kemenangan skuad Harimau Selatan.
“Saya sangat bersyukur dan berbangga kerana impian untuk bantu pasukan malam ini tercapai sekali gus memberi peluang untuk JDT beraksi ke peringkat seterusnya.
“Memang detik di luar jangkaan dan saya tidak sangka malam ini merupakan rezeki buat saya.
“Tambahan, ini memang sasaran kami untuk menang dalam pertarungan dengan Ulsan, sebab kami sedar harus bangkit dari kedudukan yang tidak selesa sebelum ini,” katanya dalam sidang media.
Untuk mengimbas kembali perlawanan, Akhyar yang menjadi wira ketika turun ke padang sewaktu aksi getir itu telah berjaya menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan buat JDT pada minit ke-87.
Jaringan kemenangannya itu telah dibantu oleh rakan sepasukan, Arif Aiman Hanapi dan Akhyar turun menambah, “Saya memang terdetik untuk mendapatkan bola kerana niat saya untuk bagi Arif Aiman shoot, tetapi dia hantar kepada saya semula,” ujarnya.
Sementara itu, Akhyar turut mendedahkan bahawa JDT sememangnya menyasarkan tiga mata pada pada aksi berdepan Ulsan Hyundai bagi mengukuhkan kedudukan pasukan dalam saingan Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC, kali ini.