TONGGAK utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi meletakkan satu matlamat penting dalam dirinya iaitu ingin melihatkan kemampuan pemain lokal sama rata dengan kekuatan yang ada pada pemain kebangsaan mahupun pemain import menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bertemu BG Pathum United yang berlangsung pada esok di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Pemain berusia 21 tahun yang sebelum ini berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan (ACL) dengan BG Pathum United di tempat lawan pada 3 Oktober lalu bagaimanapun enggan mendabik dada dan terus menganggap pertarungan esok sebagai satu detik yang sengit.
Tambah Arif, walaupun sedar akan peluang JDT untuk ke saingan pusingan 16 pasukan terbaik sudah tertutup, Arif tetap akan bertungkus lumus dalam pertarungan esok dan bersikap optimis bagi menonjolkan kehebatan pasukan dari Malaysia untuk bersaing dengan skuad The Rabbits iaitu antara lima kelab terbaik di Liga 1 Thailand.
“BG Pathum merupakan satu pasukan yang bagus di Thailand dan perkara itu tidak menjadi satu halangan buat saya kerana saya akan beri 100 peratus komitmen. Setiap perlawanan juga saya anggap sebagai satu permulaan baru.
“Kita dipersiapkan dengan motivasi yang sama bagi setiap pemain untuk menampilkan aksi terbaik dalam pertarungan berprestij iaitu Liga ACL ini.
“Saya juga percaya perlawanan esok agak mencabar kerana mereka sudah mengawasi corak permainan saya tetapi yang paling utama adalah saya fikir untuk menang sahaja pada hari esok dan sesiapa sahaja boleh menjaringkan gol,” katanya dalam sidang media.
Sementara itu, pemain pertahanan BG Pathum iaitu Sarach Yooyen mengeluarkan kenyataan yang senada dengan ketua jurulatih iaitu pasukannya sedang ‘lapar’ kemenangan dan ingin mencuri tiga mata pada perlawanan esok.
Sarach turut menyatakan bahawa rakan sepasukan yang lain telah berada pada tahap yang bersedia menjelang aksi pertarungan bertemu Harimau Selatan pada esok.