BG Pathum United sekali lagi menangis setelah dikejutkan oleh skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berjaya mengungguli perlawanan akhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dengan keputusan 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim pada petang Selasa.
Bagaimanapun, kemenangan ini tetap tidak dapat memberi peluang kepada JDT untuk ke laluan seterusnya iaitu pusingan pasukan 16 terbaik Asia walaupun kini sudah mengumpul sembilan mata dalam carta ACL Kumpulan I.
Keputusan 4-1 ini agak tidak dijangka kerana pada awalnya, BG Pathum bergerak cemerlang dengan corak permainannya dan berjaya mendominasi bola dari awal minit permainan.
Dengan usaha kerja keras oleh pasukan mereka, skuad ‘The Rabbits’ itu telah membuka tirai jaringan pada minit ke-27 permainan melalui Igor Sergeev, selaku pemain yang diakui berbisa dari pasukan itu.
Kegembiraan bagi setiap pemain dan penyokong Thailand yang hadir ke stadium telah mengancam lagi kedudukan JDT dan perkara itu ditambah dengan kegagalan mereka untuk menyempurnakan setiap sepakan percuma yang diambil.
Babak pertama perlawanan akhirnya tamat dengan keputusan 0-1 dimana kelebihan ini berpihak buat pasukan pelawat, BG Pathum United yang semakin bersemangat untuk meraih tiga mata sulung dalam perlawanan ACL.
Sambung pula di separuh masa kedua, sorakan oleh Boys of Straits dan penyokong-penyokong JDT yang lain semakin bergema di stadium apabila hadiah penalti diberikan kepada pasukan Harimau Selatan dan Bergson Da Silva berjaya melunaskannya dengan sempurna pada minit ke-55.
Pemberian penalti tersebut telah disahkan sendiri melalui sistem VAR yang digunakan buat pertama kalinya di Stadium Sultan Ibrahim, stadium berprestij ini.
Seterusnya, tidak cukup dengan penalti, JDT nampaknya semakin mengeluarkan taring dan kembali berkeyakinan untuk menguasai perlawanan sejurus menepis cabaran daripada benteng pertahanan BG Pathum.
JDT terus mengorak longkah kedepan apabila gol kedua pada minit ke-65 berjaya dimiliki oleh mereka setelah wira yang sama, Bergson berjaya memberi sepakan terus ke gawang pihak lawan sekali gus menumpaskan penjaga golnya, Chatchai Bootprom.
Keterujaan buat mereka disambung lagi dengan jaringan gol ketiga pada minit ke-85 sebelum tamat perlawanan menerusi pemain simpanan yang dibawa masuk iaitu Endrick Dos Santos.
Dengan keberanian dan semangat yang kian terpahat dan disemat tinggi oleh JDT, buruan gol keempat akhirnya berjaya dicipta oleh Arif Aiman Hanapi pada minit terakhir perlawanan.
Dengan keputusan 4-1 yang telah muktamad hingga ke 90 minit permainan, BG Pathum terpaksa akur dan pulang tanpa sebarang mata ke Thailand.
Kemenangan yang disebaliknya mempunyai jalan berliku buat JDT itu telah disaksikan sendiri oleh 9,886 para penyokong Harimau Selatan dan BG Pathum yang hadir ke stadium pada petang ini.