SEPERTI yang sudah sedia maklum, dua beradik kelahiran Singapura iaitu Irfan Fandi Ahmad dan Ikhsan Fandi Ahmad kini sedang fokus beraksi dalam skuad lima terbaik di Liga Thailand, BG Pathum United.

Kedua-dua pemain ini merupakan anak kepada Fandi Ahmad, kini ketua jurulatih di Sri Pahang sebelum ini beliau juga pernah mengendali pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun 2012 sehingga 2013.

Bagaimanapun, bagi aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada petang ini antara JDT dan BG Pathum, tiada kelibat Irfan Fandi ketika sesi latihan dan perkara ini telah mengesahkan bahawa dia tidak bermain untuk perlawanan hari ini.

Hal ini difahamkan kerana pemain berusia 26 tahun itu sedang mengalami kecederaan betis ketika mewakili pasukan kebangsannya menentang kelab Korea Selatan pada November lepas.

Walau bagaimanapun, adiknya iaitu Ikhsan Fandi yang dilihat turun ke sesi latihan rasmi pada Isnin pasti ingin meneruskan perjuangan demi abangnya dan pasukan jika berpeluang untuk berada di kesebelasan utama pertarungan terakhir peringkat kumpulan ACL petang ini.

Tambahan pula, Ikhsan baru-baru ini telah berjaya membantu skuad ‘The Rabbits’ menumpaskan pasukan Ratchaburi FC 2-1 dalam Liga 1 Thailand dengan memberi jaringan buat skuadnya.