KETUA jurulatih BG Pathum United, Surachai Jaturapattarapong nampaknya terpaksa akur dengan keputusan penggunaan video bantuan pengadil (VAR) yang menjadi titik tolak kebangkitan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada babak kedua saingan peringkat kumpulan keenam Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Keputusan yang berakhir dengan 4-1 juga menyaksikan kelab The Rabbits itu menutup saingan Kumpulan I tanpa terikat dengan sebarang mata setelah tewas dalam kesemua perlawanan menentang JDT, Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale.
Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa pemainnya sudah memberi 100 peratus komitmen di padang dan perkata itu dibuktikan dengan jaringan pertama mereka menerusi Igor Sergeev pada minit ke-28.
Jaturapattarapong akui bahawa rentak kecemerlangan mereka telah menurun apabila pengadil perlawanan, Ma Ning menghadiahkan satu sepakan penalti kepada skuad Harimau Selatan.
“Walaupun dalam VAR tidak begitu jelas kelihatan setelah melihat insiden itu, kami terpaksa menerima keputusan pengadilan dan bermain dengan 10 pemain setelah dua kad kuning dilayangkan kepada pemain. Keadaan ini jelas memberi kesan kepada kami.
“Jelas perkara ini adalah tugas yang sukar kerana terpaksa berdepan dengan lawan yang mempunyai jentera serangan berbisa seperti Heberty De Andrade, Bergson Da Silava dan Arif Aiman Hanapi. Saya terpaksa melakukan perubahan taktikal namun tetap sukar mengekang mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Jaturapattarapong tetap bertegas untuk bangkit pada saingan ACL bagi musim hadapan dengan pasukan yang lebih berkualiti serta corak dan taktikal permainan yang lebih utuh supaya berjaya melangkah lebih jauh.
“Kita memulakan langkah dengan langkah kiri apabila kehilangan beberapa pemain utama dalam perlawanan penting. Tambahan pula kita berdepan lawan yang cukup kuat, sukar untuk kita memperoleh keputusan yang positif.
“Jadi, kami bertekad untuk bangkit semula pada musim depan dengan meningkatkan taktikal dan strategi pasukan selain memberi tumpuan penuh setiap perlawanan dalam masa sama elakkan daripada melakukan kesilapan mudah sekiranya mahu layak ke pusingan seterusnya,” katanya.