PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) pastinya menanti pertarungan keempat Kumpulan I dalam Liga Juara-juara AFC (ACL) bagi misi mengutip tiga mata pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

Sepanjang saingan ACL musim ini, skuad Harimau Selatan ini terpaksa akur dengan perubahan kedudukan kedua dalam carta liga ACL selepas tewas 1-3 kepada Ulsan Hyundai di Stadium Ulsan Munsu sebelum ini, dijangka sekali lagi bakal berdepan dengan saingan sukar pada esok.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Esteban Solari yang kini hanya mempunyai tiga mata dalam tiga perlawanan keseluruhan tidak ingin berputus asa dan yakin dapat menemukan rentak cemerlang di halaman sendiri.

Dalam masa yang sama, tidak mustahil juga untuk pasukan Harimau Selatan kembali melakar kemenangan yang pernah diraih sewaktu ACL musim lalu, yang menyaksikan mereka berjaya menewaskan Ulsan 2-1 pada 30 April 2022.

Mengimbas kembali perlawanan lalu, Ulsan Hyundai telah menewaskan BG Pathum United pada perlawanan pertama namun tewas kepada wakil Jepun iaitu Kawasaki Frontale ketika aksi kedua dan kebangkitan bermula apabila mereka menang 3-1 ke atas JDT.

Manakala, JDT pula telah memulakan aksi pertama liga ACL dengan langkah kiri apabila tewas kepada kelab Kawasaki Frontale dan seterusnya menang bertemu BG Pathum United.

Malangnya kegembiraan dan kejayaan yang dirangkul itu tidak bertahan  mereka tewas pada aksi ketiga bertemu Ulsan Hyundai, iaitu juara Liga Korea (K-League) tahun 2022 sekali gus merampas kedudukan kedua JDT dalam carta ACL.