PENGENDALI skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengungkapkan rasa bangga dengan usaha dan kepayahan barisan pemainnya dalam mengharungi perlawanan peringkat Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) walau tidak kesampaian ke titik penghujung.
Malah katanya, kemenangan 4-1 ke atas BG Pathum United FC dalam aksi terakhir saingan ACL di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa telah membuktikan setiap pemain yang turun ke padang memberi komitmen yang tinggi dan semenangnya mereka layak untuk meraih pujian.
“Kami sedar kami menentang pasukan terbaik di Liga Thailand dan ianya satu tugas rumit. Babak pertama kami jelas bergelut untuk menyaingi corak permainan pasukan lawan apabila mereka beraksi dengan taktikal tersusun.
“Kami cuba sedaya upaya untuk mengimbangi kekuatan pasukan lawan dan ketika waktu rehat babak pertama kami bertekad untuk bangkit selepas ketinggalan 0-1. Masuk ke babak kedua, pemain saya menunjukkan corak permainan sebenar dan kembali konsisten dalam menerajui permainan.
“Malah pada babak kedua, setiap pemain menggandakan usaha dan memberi tentangan sengit terhadapa pasukan dari Thailand itu dan apabila kami meraih sepakan penalti maka ia detik kebangkitan untuk meneruskan momentum permainan berintensiti tinggi,” ujarnya.
Media juga sempat bertanya mengenai persembahan Natxo Insa yang hampir 10 bulan tidak beraksi dalam saingan yang kompetitif akibat kecederaan tetapi semalam berjaya menunjukkan konsistensi dan menguasai posisi tengah selepas mengambil alih tugas Shio Hong Wan yang digantung kerana mengumpul dua kad kuning.
Jelas Solari menunjukkan air muka yang ternyata gembira dengan kualiti permainan yang dipamerkan kapten JDT itu.
“Sudah tentu saya gembira dengan aksi Natxo pada perlawanan itu selepas 10 bulan kami beraksi tanpanya dan selepas pulih dari kecederaan dia hanya turun dalam tempoh singkat malah ada ketika dia mengeluh kepenatan kerana tidak berada di tahap kecergasan yang optimum.
“Untuk saingan ACL, ia pencapaian yang baik selepas menamatkannya dengan sembilan mata tapi hanya sedikit kesilapan ketika tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale menyebabkan hasrat ke pusingan seterusnya tidak kesampaian.
“Prestasi pemain sepanjang aksi ACL musim ini menakjubkan apabila mereka memberi segalanya dalam permainan selain dorongan setiap pemain yang mahu kejayaan tidak di gelanggang sendiri atau di tempat lawan dengan mempertahankan falsafah corak permainan yang diterapkan,” kata Solari.