KEJAYAAN melayakkan diri ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2024-25 bukan sahaja menyaksikan Selangor FC akan kembali bersaing di peringkat Asia selepas lapan tahun tetapi juga bakal memberikan impak kewangan kepada Gergasi Merah.

Ini selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan wang perolehan bernilai USD300,000 bersamaan RM1.4 juta akan diberikan kepada semua kelab yang bertanding di kejohanan tier kedua kelab Asia itu.

Jumlah wang kemenangan itu bakal bertambah sekiranya anak-anak buah Nidzam Jamil berjaya layak ke pusingan 16 terbaik dan akan mendapat tambahan wang tunai sebanyak USD80,000 bersamaan lebih RM376,000.

Jadual lengkap Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25

AFC turut berkongsikan senarai penuh kelab-kelab yang mengesahkan tempat serta mengharungi peringkat kelayakan ACL 2 dari rantau Asia Barat dan Asia Timur.

32 kelab akan bertanding yang dibahagikan kepada lapan kumpulan – empat di Zon Barat manakala empat lagi di Zon Timur dengan setiap pasukan akan bermain enam perlawanan merangkumi tiga aksi di laman sendiri dan tiga aksi di laman lawan.

Trofi baharu yang menjadi rebutan 32 pasukan.

Majlis undian bagi Peringkat Kumpulan akan dilangsungkan pada 16 Ogos 2024 namun perincian mengenai mekanisme undian akan diumumkan dalam masa yang terdekat.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan bersaing di peringkat 16 terbaik bagi merebut kejuaraan pertama ACL2 yang dinaikkan taraf dari Piala AFC sebelum ini dengan juara akan mendapat ganjaran wang tunai USD2.5 juta.