PENGENDALI Jeonbuk Hyundai Motors, Kim Do-heon mengakui pasukannya perlu cepat mengadaptasi keadaan cuaca yang panas di Malaysia selain jenis rumput di Stadium MBPJ, Kelana Jaya menjelang aksi Liga Juara-Juara AFC 2 menentang Selangor FC pada Rabu.
Do-heon yang pernah bermain di Liga Malaysia bersama Negeri Sembilan pada 2018 sedar Selangor adalah lawan yang baik dan semestinya satu aksi sukar akan ditempuh barisan pemainnya.
“Ini adalah perlawanan di tempat lawan dan pastinya ianya sukar selain perlu cepat mengadaptasi keadaan di sini. Saya juga mempunyai pengalaman bermain di Malaysia oleh itu saya akan siapkan pasukan sebaik mungkin untuk membawa pulang tiga mata.
“Kami perlu segera mengadaptasi kepada keadaan cuaca serta jenis rumput yang digunakan di stadium ini tetapi semua pemain yang dibawa ke sini dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
Do-heon juga turut mengakui Selangor mempunyai barisan yang mantap terutama trio serangan dan mereka sudah melakukan analisis serta bersedia untuk menghadapi ancaman ini kerana hadir ke Malaysia dengan sasaran membawa pulang tiga mata.
“Selangor mempunyai pemain antarabangsa yang berkualiti selain mempunyai kekuatan di bahagian serangan dan mereka juga sering bersaing dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat liga yang membuktikan pasukan ini mempunyai kualiti.
“Kami mempunyai skuad yang besar dan dibahagikan kepada saingan Liga Korea dan ACL2. Sudah tentu kami akan persiapan barisan terbaik untuk aksi ini untuk meraih kemenangan sebagai momentum terbaik buat pasukan menghadapi saingan liga,” jelasnya.
Jeonbuk Hyundai Motors kini berada di tangga teratas Kumpulan H selepas meraih dua kemenangan dari dua perlawanan dan sebarang keputusan positif ke atas Selangor pada Rabu akan mendekatkan mereka dengan peringkat 16 terbaik.