PENGENDALI Persib Bandung, Bojan Hodak mengakui tuah akhirnya memihak kepada pasukannya selepas melakukan ‘comeback’ luar biasa untuk menewaskan Lion City Sailors 3-2 dalam aksi Liga Juara-Juara AFC 2 di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Khamis.
Dia turut mengakui dalam tiga aksi Kumpulan H sebelum ini, kelabnya tidak mendapat sebarang tuah apabila dibolosi pada minit terakhir dalam dua perlawanan dan bermain dengan 10 pemain dalam satu perlawanan.
Kehadiran semula penyerang utama, David Da Silva memacu kebangkitan dramatik Persib apabila menjaringkan dua gol dalam masa kecederaan untuk mengecewakan Sailors yang pada satu ketika kelihatan sudah menempah tiga mata penuh.
“Dalam bola sepak, kadang kala tuah diperlukan kerana dalam tiga pertemuan sebelum ini, tuah tidak berpihak kepada kami. Ketika bertemu Port dan Zhejiang, kami bolos pada minit terakhir dan ketika berdepan Sailors di Bandung, kami bermain dengan 10 pemain pada sepanjang babak kedua.
“Kami bermula dengan sangat buruk apabila semua pemain dilihat tidak tahu apa yang sedang mereka lakukan dan membenarkan lawan menguasai permainan dengan memberikan terlalu banyak ‘set pieces’ dan lontaran ke dalam.
“Akhirnya pada babak kedua, saya lalukan pertukaran pemain dan kemasukan David Da Silva membantu menaikkan semangat para pemain hingga kami berjaya membentuk semula karektor musim lalu dan akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama di Asia musim ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Sejak bergelar juara Liga 1 Indonesia musim lalu, Persib kehilangan khidmat Da Silva yang mengalami kecederaan dan dilihat bergelut untuk mencari gol namun keadaan kini telah berubah apabila orang besi itu sudah kembali di dalam skuad dan menjaringkan gol.
Da Silva mencatat gol pada minit ke-81 sebelum dua gol dari Mateo Kocijan dan Tyronne Ramos pada saat akhir perlawanan memastikan tiga mata penuh dibawa ke Kota Bandung dari Kota Singa sekaligus membuka peluang layak ke peringkat 16 terbaik.