PENGENDALI Jeonbuk Hyundai Motors, Kim Do-heon tetap bangga dengan prestasi yang ditunjukkan pemain-pemain mudanya meskipun tewas 1-2 kepada Selangor FC dalam perlawanan ketiga Kumpulan H, Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25.

Jeonbuk Hyundai Motors membahagikan pasukannya kepada dua skuad dengan pasukan utama lebih memberikan tumpuan kepada Liga 1 Korea dan memberikan peluang buat pemain-pemain muda untuk menimba pengalaman di peringkat Asia.

Do-heon mengakui kelekaan ketika bertahan menyebabkan mereka dibolosi dan dia akan memperbaiki pasukan menjelang aksi kedua di Jeonju pada November 2024.

 

“Kurang tumpuan ketika ‘set piece’ dan ini mengecewakan kami tetapi kami berjaya dapat satu gol dan ini beri pengalaman baik buat pemain muda kami yang diberikan peluang bermain di pentas besar ini. Selepas ini kami akan bermain di tempat sendiri dan lakukan lebih baik.

“Kami akan berikan tumpuan kepada ‘man marking’ dan ‘second ball’ dan kelemahan ini perlu diperbaiki bagi memastikan perkara ini tidak berulang pada perlawanan kedua nanti kami dan pastinya satu perlawanan yang menarik akan diberikan.

“Bolos dua gol dalam tiga minit melunturkan sedikit semangat tetapi kami juga gagal menyudahkan peluang dan ini menjadi punca kekalahan kami malam ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Pengendali yang pernah beraksi di Liga Malaysia bersama Negeri Sembilan sedar para penyokong pasukannya mahu melihat Jeonbuk berada di tangga teratas kumpulan dan layak ke peringkat seterusnya namun dia menegaskan tumpuan utama mereka ketika ini adalah di pertandingan liga.

“Banyak penyokong mahukan kami mendapat tempat pertama di ACL2 tetapi liga adalah keutamaan kami ketika ini dengan baki tujuh perlawanan sangat penting dan kami tetap akan bahagikan pasukan dalam baki kejohanan ini,” jelasnya.

Kekalahan pertama dalam ACL2 ini menyaksikan Jeonbuk turun ke tangga kedua dengan enam mata selepas berakhir pusingan pertama peringkat kumpulan dan akan kembali mengejar mata apabila bermula pusingan kedua.