Kredit Foto: K League
JURULATIH Jeonbuk Hyundai Motors, Kim Do-heon menarik nafas lega apabila berjaya menamatkan kemarau kemenangan pasukannya selepas menewaskan Selangor FC 1-0 dalam aksi keempat Kumpulan H, Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) di Stadium Piala Dunia Jeonju pada Khamis.
Gol tunggal jaringan Tiago Orobo pada babak pertama sudah cukup untuk memberikan Jeonbuk tiga mata penuh sekaligus membalas kekecewaan tewas pada pusingan pertama di Kelana Jaya.
Kemenangan itu kembali melonjakkan Jeonbuk ke tangga teratas Kumpulan H namun Do-heon merasa kurang puas kerana hanya berjaya menjaringkan hanya satu gol meskipun memungut tiga mata penting.
“Dari segi permainan, gol yang lebih banyak dilihat ideal. Ianya satu proses yang panjang untuk mempersiapkan pasukan perlawanan tetapi tiga mata ini cukup penting buat kami kerana tiada apa yang lebih penting dari tiga mata.
“Kemenangan itu sangat penting dan saya faham memuaskan hati penyokong juga penting dan kami bekerja keras bersama pemain untuk merealisasikan impian ini. Ianya memotivasikan kami untuk bertambah baik setiap hari,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Meskipun menang, para penyokong dilihat tidak berpuas hati malah mereka menjerit “diam dan terus menyerang” ketika aksi babak kedua. Turut kedengaran laungan ‘boo’ dari tempat duduk penyokong dan pemain-pemain tidak diraikan walaupun berjaya mengutip tiga mata penuh.
Selepas empat perlawanan, Jeonbuk mendahului takhta Kumpulan H dengan 9 mata dan dilihat tidak berdepan masalah untuk layak ke pusingan seterusnya dalam dua baki perlawanan selepas ini.