PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil berbangga dengan apa yang ditampilkan pemain-pemainnya terutama pemain muda yang berjaya menggalas tugas dengan baik ketika menewaskan Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi Kumpulan H, Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25.

Nidzam ternyata gembira dengan pemain-pemain yang dibawa masuk pada babak kedua yang mana padanya adalah ‘turning point’ dalam perlawanan ini untuk mengutip tiga mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah.

“Saya ucapkan tahniah pada kedua-dua pasukan kerana memberikan aksi yang menarik dan terutama kepada pemain saya yang bekerja keras selama dua minggu ini dan yang bermain baik meskipun banyak dilanda kecederaan.

“Kami bermain dengan berdisipin dan perlu faham kehendak bermain di peringkat Asia dan gembira dengan apa yang ditunjukkan para pemain saya pada kedua-dua babak.

“Turning point dalam perlawanan ini adalah pemain-pemain yang masuk pada babak kedua kerana berjaya kekalkan keputusan selain dapatkan peluang untuk cari gol lagi dan ini buatkan saya gembira dengan prestasi mereka.

“Pemain-pemain muda dapat banyak belajar dari perlawanan ini dengan ramai antara mereka di bawah 23 tahun dan kita cuba dapatkan keputusan sambil bangunkan bakat mereka kerana mereka adalah masa depan buat Selangor,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Nidzam juga tidak peduli dengan keputusan Jeonbuk membawa skuad kedua ke kejohanan ini kerana padanya itu adalah pilihan mereka dan Selangor hanya fokus kepada diri mereka sendiri dan tidak menganggap perkara itu sebagai kelebihan buat pasukannya.

“Itu bukan masalah kita kerana itu adalah pilihan mereka dan kita cuma fikirkan hala tuju kita sahaja dan fokus sekarang adalah untuk memastikan ‘recovery’ pemain untuk menghadapi perlawanan akan datang,” jelasnya.

Kemenangan ini melonjakkan Selangor ke tangga teratas Kumpulan H dengan tujuh mata selepas berakhir tiga perlawanan dan Gergasi Merah akan bertandang ke Jeonju pada 7 November 2024 untuk memulakan aksi pusingan kedua bagi merebut dua tempat teratas.