KEJAYAAN Selangor FC membenam cabaran Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi ketiga Kumpulan H, Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25 membuka mata ramai dengan aksi memberangsangkan daripada pemain-pemain muda tempatan.

Harith Haiqal yang diberikan lilitan kapten dan berjaya menjaringkan satu gol menganggap kemenangan ini adalah satu kejayaan bersama sebagai satu pasukan dan bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan.

“Syukur atas kemenangan ini dan saya tidak kisah siapa pun jaringkan gol kerana yang penting pasukan menang dan dapat tiga mata yang mana ianya cukup melegakan.

Harith Haiqal bangga dengan kejayaan pemain muda tempatan yang dapat bersaing di peringkat tinggi Asia

“Memakai ‘armband’ untuk kelab besar di Malaysia seperti Selangor ini bukan senang tetapi saya gembira kerana berjaya jalankan tugas dengan baik di umur 22 tahun. Kini kami akan cuba yang terbaik untuk layak ke pusingan kedua dan cuba perbaiki apa yang perlu.

“Semestinya saya bangga dengan jaringan ini. Semalam Feroz “score’ dan malam ini rezeki saya dan kami dapat buktikan kemampuan bakat muda tempatan yang mampu bersaing di peringkat Asia,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, penjaga gol, Azim Al Amin tidak mahu dianggap menampilkan penampilan luar biasa sebaliknya mahu kekal tenang dan akan memperbaiki prestasi untuk perlawanan akan datang terutama di pusingan kedua nanti.

Azim tidak mahu menganggap persembahannya sebagai luar biasa

“Mungkin orang nampak luar biasa tetapi bagi saya masih belum cukup kerana sukar hendak hadapi serangan demi serangan dalam perlawanan seperti ini. Saya bangga dengan kemenangan ini dan akan perbaiki persembahan untuk aksi seterusnya,” jelasnya.

Pemain Terbaik Perlawanan, Ali Olwan pula merakamkan kemenangan bersejarah ini kepada semua lebih tujuh ribu penyokong yang hadir dan bersedia membawa Selangor layak ke pusingan seterusnya dalam baki tiga perlawanan.

Aksi Ali Olwan ketika menjaringkan gol kedua Selangor FC di Stadium MBPJ

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang hadir kerana mereka adalah sebab utama kemenangan ini selain kerjasama pasukan dan saya tidak sabar untuk aksi seterusnya kerana kami mahu mengekalkan kedudukan teratas kumpulan untuk berpeluang layak ke pusingan seterusnya,” ujarnya.

Dua gol pantas dari Harith Haiqal dan Ali Olwan pada separuh masa pertama cukup untuk memberikan kemenangan kedua Selangor di ACL2 sekaligus menerajui Kumpulan H selepas berakhir pusingan pertama.