Kredit Foto: Selangor FC

HASRAT Selangor FC mengukuhkan kedudukan untuk layak ke Pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC 2 sedikit tersekat apabila tewas buat kali pertama dalam kejohanan ini kepada Jeonbuk Hyundai Motors 0-1.

Gergasi Merah yang berjaya merakam kemenangan di Kelana Jaya keatas lawan yang sama dua minggu lalu, kali ini berdepan skuad campuran tuan rumah yang menurunkan beberapa pemain utama mereka untuk menebus kekalahan.

Bermain dengan agak bertahan sejak awal permainan, anak-anak buah Abdi Hassan berjaya mengekang asakan Jeonbuk namun kelekaan ketika sepakan sudut menyaksikan Tiago Orobo menjaringkan gol menerusi tandukan pada minit ke-22.

Ronnie Fernandes cuba melepasi kawalan pemain Jeonbuk Hyundai Motors

Gol itu menambah semangat Jeonbuk untuk mencari tambahan gol namun gagal menembusi gawang yang dikawal Azim Al Amin meskipun menguasai hampir 70 peratus penguasaan.

Selangor hampir mendapat gol penyamaan pada babak kedua menerusi Ronnie Fernandes namun rembatannya menggegar palang dan itu menjadi satu-satunya percubaan berbahaya sepanjang 90 minit.

Jeonbuk juga mempunyai beberapa peluang keemasan untuk menggandakan jaringan namun kecewa dengan ketumpulan penyudah walaupun mempunyai banyak peluang menerusi sepakan sudut.

Ali Olwan bermain baik dengan mengkucar-kacirkan pertahanan lawan

Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Jeonbuk berjaya merampas kembali tempat teratas Kumpulan H dengan 9 mata manakala Selangor di tempat kedua dengan tujuh mata selepas berakhir empat perlawanan.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan H, Muangthong United membelasah Dynamic Herb Cebu 9-2 sekaligus mengumpul lima mata dan menambah tekanan buat Selangor untuk merebut salah satu tempat ke pusingan 16 terbaik.