PASUKAN Selangor FC berdepan cabaran terbesar musim ini apabila bakal berhadapan gergasi Republik Korea, Jeonbuk Hyundai Motors pada Rabu tanpa beberapa pemain utama ekoran kecederaan yang melanda.
Pengendali Gergasi Merah, Nidzam Jamil mengesahkan pasukannya akan turun tanpa Noor Al Rawabdeh, Safuwan Baharudin dan Mukhairi Ajmal sekaligus sedikit mengganggu persiapan dalam aksi ketiga Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) di Stadium MBPJ.
Nidzam bagaimanapun percaya dengan kemampuan pemain yang lain dan dia juga gembira dengan ‘squad depth’ yang ada dalam pasukan bagi memastikan Selangor meneruskan momentum cemerlang dalam ACL2.
”Seperti yang sudah dipastikan oleh doktor pasukan, kita kehilangan Noor Al Rawabdeh akibat kecederaan ACL selama 9 bulan dan Safuwan Baharuddin juga saya boleh sahkan tidak akan terlibat serta Mukhairi Ajmal.
”Ada juga beberapa pemain yang berada dalam penilaian terakhir untuk kita melihat mereka bersedia atau tidak untuk perlawanan nanti,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
Selain kehilangan tiga tonggak ini, status pemain sayap lincah, Alvin Fortes untuk diturunkan juga masih samar dan Nidzam perlu menunggu keputusan doktor pasukan sebelum dapat membuat keputusan sama ada pemain antarabangsa Cape Verde itu dapat bermain atau tidak.
“Fortes masih menunggu perlepasan dari doktor pasukan kerana saya pentingkan kesihatan pemain dan juga kita akan berhadapan JDT selepas empat hari tetapi jika doktor lepaskan sudah tentu kita akan letakkan dia dalam senarai pasukan,” jelasnya.
Selangor kini di tangga kedua Kumpulan H dengan empat mata selepas dua perlawanan dan akan menggunakan kelebihan di tempat sendiri untuk meraih kemenangan sekaligus meraih tiga mata.