JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tidak mahu terlalu memikirkan tentang kekuatan yang ada pada pasukan Shanghai Shenhua sebaliknya fokus kepada potensi sendiri untuk menghadapi aksi kedua peringkat liga, Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) 2024-25.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio mahu para pemainnya kekal fokus dan cuba mengutip tiga mata penuh apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa sekaligus mengukuhkan kedudukan dalam liga Zon Timur.

Bidoglio bagaimanapun sedar tugas berat menanti Harimau Selatan terutama untuk menyekat kelebihan ‘set pieces’ yang ada pada juara Piala FA China itu sepertimana yang dibuktikan ketika mereka menang ke atas Pohang Steelers dalam aksi pembukaan sebelum ini.

Hector Bidoglio mahu JDT serlahkan potensi sebenar di hadapan penyokong sendiri

“Pastinya satu perlawanan yang menarik tetapi kami hanya fokus kepada diri kami dengan pemain bekerja keras setiap hari. Kami juga fokus pada potensi kami di gelanggang sendiri dan harap dapat teruskan apa yang dilakukan pada perlawanan pertama untuk mencipta kemenangan pertama.

“Set pieces adalah perkara yang penting dalam perlawanan bola sepak dan kami tahu mereka mempunyai kekuatan dalam hal ini yang mana kami sedar tentang perkara ini dan telah lakukan perkara yang sepatutnya dalam latihan untuk mengatasinya serta saya percaya kepada para pemain.

“Kedua-dua pasukan Shanghai adalah pasukan yang baik tetapi berbeza. Shanghai Port lebih suka mengawal bola manakala Shanghai Shenhua pula lebih bermain secara terus dengan pemain yang bagus tetapi kami hanya fokus kepada diri kami dan kekalkan apa yang dilakukan ketika perlawanan pertama untuk berikan penyokong kami kegembiraan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Jordi Amat yakin para pemain mempunyai keyakinan untuk cipta kejutan sekali lagi

Dalam sidang media yang sama, pemain JDT, Jordi Amat mengakui tidak sabar untuk kembali beraksi di peringkat terbaik Asia di laman sendiri dan berharap sesiapapun yang diturunkan akan memberikan aksi terbaik untuk meraih tiga mata.

Pemain antarabangsa Indonesia itu turut senada dengan jurulatih yang mana mereka sedar akan kekuatan lawan ketika situasi bola mati namun dia percaya para pemain mampu memberikan keputusan yang cemerlang buat para penyokong.

“Satu perkara yang istimewa beraksi di Stadium Sultan Ibrahim selepas apa yang kami lakukan pada perlawanan pertama dan kini kami perlu lakukan lebih lagi untuk tewaskan Shenhua dan lebih mantap di bahagian pertahanan dengan kami perlu pegang bola dan lebih klinikal ketika menyerang.

“Benar mereka bagus dalam ‘set pieces’ tetapi kami juga semakin baik dari musim ke musim. Kami perlu fokus dan kekal kompak dengan perlu memenangi bola kedua yang mana ianya penting untuk membantu serangan. Kami sudah lakukan latihan dan pasukan dalam keadaan yang bersemangat untuk beraksi.

“Dalam perlawanan seperti ini pelbagai perkara akan berlaku dan kami juga akan menekan lawan bukan hanya ditekan kerana perlawanan Liga Juara-Juara adalah istimewa dan kami bersedia untuk menghadapi apa jua keadaan tetapi kami yakin kami dapat sesuatu dari perlawanan ini,” jelasnya.

Pada perlawanan pertama, JDT berjaya mengejutkan juara Liga Super China, Shanghai Port apabila seri 2-2 dengan Arif Aiman Hanapi menjaringkan dua gol sekali gus memberikan mata pertama buat Harimau Selatan di kejohanan ini.