KELAB Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan mereka sememangnya berada di kelas yang berbeza selepas mencipta kemenangan 3-0 ke atas juara Piala FA China, Shanghai Shenhua dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25 di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

Hector Bidoglio mengekalkan kesebelasan utama ketika bertemu Shanghai Port sebelum ini dengan Arif Aiman sekali lagi mencuri tumpuan di sepanjang perlawanan yang berlangsung rancak dengan menjaringkan satu gol sekaligus gol ketiganya dalam kejohanan.

Harimau Selatan terlepas peluang untuk mendahului menerusi dua percubaan awal seawal lima minit pertama menerusi Jorge Obregon namun ianya tidak kekal lama apabila Arif Aiman Hanapi meledak gol pembukaan pada minit ke-11.

Gol itu nyata menjawab mimpi ngeri pengendali Shenhua, Leonid Slutsky yang menyatakan mereka tidak boleh membiarkan Arif Aiman bergerak bebas dan pemain paling bernilai itu membuktikan kata-katanya.

JDT berjaya menjaringkan gol pada minit ke-23 menerusi Oscar Arribas yang menerima hantaran Arif Aiman namun dibatalkan pengadil dari UAE kerana mengesan gerakan ofsaid terlebih dahulu.

Tidak kecewa, anak-anak buah Hector Bidoglio terus menyerang dan berselang seminit kemudiannya, Jorge Obregon akhirnya menamatkan kekecewaan awalnya dengan menanduk masuk gol kedua sekaligus meletakkan JDT selesa dihadapan pada babak pertama.

Jorge Obregon membuka akaun jaringannya di ACLE

Bersambung babak kedua tidak banyak perubahan yang berlaku dengan JDT dilihat bermain sedikit perlahan sambil sesekali menyerang menerusi serangan balas yang menggembirakan lebih 31 ribu penyokong yang hadir ke stadium.

Kemasukan Bergson Da Silva menambah sengat JDT di bahagian serangan dan dia berjaya mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Shenhua yang akhirnya banyak melakukan kekasaran yang memberikan sepakan percuma kepada JDT.

Seperti biasa, Juan Muniz tidak mempunyai masalah untuk meletakkan bola di dalam jaring untuk gol ketiga JDT sekaligus menamatkan malam gemilang Asia Elit dengan kemenangan mutlak yang membawa mereka ke tangga kedua liga Zon Asia Timur.