PASUKAN Liga Super China, Shanghai Shenhua mengakui mereka akan menghadapi cabaran yang sukar apabila berhadapan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi kedua peringkat liga, Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

Pengendali Shenhua, Leonid Slutsky turut mengakui pasukannya kini sedikit keletihan ekoran jadual yang padat namun dia bersedia untuk menghadapi cabaran yang bakal diberikan Harimau Selatan.

“Ketika ini kami menghadapi jadual yang padat dan pastinya satu perlawanan yang sukar kerana JDT adalah pasukan yang bagus berdasarkan aksi yang ditunjukkan ketika bertemu Shanghai Port di mana saya sendiri saksikan perlawanan itu secara langsung di stadium.

Leonid Slutsky jangkakan aksi sukar bertemu JDT

“Pertandingan ini sangat penting buat kami tetapi setakat ini, kami hanya sempat menjalani latihan pemulihan dan terpaksa bersedia untuk perlawanan esok selepas menempuh beberapa siri perjalanan yang panjang,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Pengendali asal Russia itu turut sedar akan kekuatan yang bakal dihadirkan oleh JDT dengan secara peribadi memilih Arif Aiman dan Natxo Insa sebagai pemain yang perlu diberikan perhatian oleh barisan pemainnya.

“Pemain nombor 42 (Arif) adalah pemain yang bagus dan nombor 30 (Insa) juga masih menunjukkan tahap yang baik walaupun berusia 37 tahun. JDT bermain dengan sentiasa memegang bola dan perkara ini asing buat pasukan di Liga China dan kami perlu kompetitif dalam perlawanan esok.

Arif Aiman menjadi perhatian barisan kejurulatihan Shanghai Shenhua

“Ianya akan menjadi perlawanan yang seimbang dengan kedua-dua pasukan mampu raih kemenangan tetapi Johor ada kelebihan dari sudut penyokong tetapi yang pasti ianya satu perlawanan yang menarik buat semua,” jelasnya.

Perkara yang sama turut diakui pemain Shenhua, Joao Texeira yang menyatakan pasukannya perlu memberikan aksi terbaik sekiranya mahu membawa pulang mata dari Iskandar Puteri kerana sedar akan kekuatan yang ada pada pasukan JDT terutama ketika melakukan tekanan.

“Kami akan lakukan yang terbaik kerana jadual tidak menyebelahi kami tetapi kami perlu hadapinya dan akan berikan aksi terbaik di stadium yang bagus ini dan kami juga sudah faham akan corak permainan kami dan berharap akan berikan satu perlawanan yang baik buat semua penyokong.

Joao Texeira akui pasukan dalam keadaan sedikit keletihan akibat jadual yang padat

“Cuaca panas sedikit berbeza tetapi sebagai pemain profesional, saya sudah bersedia dan berharap kami dapat berikan aksi terbaik untuk membawa pulang keputusan positif dari sini,” katanya.

Pada perlawanan pertama sebelum ini, Shanghai Shenhua melakar kejutan apabila menewaskan Pohang Steelers 4-1 dalam aksi di laman sendiri untuk meletakkan mereka di tangga kedua dengan tiga mata.