KIM Pan-gon kini berada di bawah tekanan yang besar dalam usahanya membawa kemenangan kepada pasukan Ulsan Hyundai, setelah beberapa siri keputusan yang mengecewakan.
Selepas hampir tiga tahun mengemudi Malaysia sebelum ini, beliau sekarang berhadapan dengan cabaran luar biasa apabila pasukannya tewas buat kali ketiga dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACLE), kali ini kepada Vissel Kobe dengan keputusan 2-0.
Sebelum kekalahan malam Rabu, Ulsan HD telahpun terduduk dengan kekalahan 0-1 kepada Kawasaki Frontale dan dibelasah 0-4 oleh Yokohama F. Marinos.
Jadi, ia menunjukkan kekalahan keempat Ulsan HD sejak jurulatih berpengalaman itu mengambil alih pasukan, sekali gus menyaksikan mereka terus berada di kedudukan tercorot kumpulan.
“Saya tidak menyalahkan pemain. Kami akan membuat analisis mendalam mengenai perlawanan ini dan bersedia untuk perlawanan seterusnya.
“Kami perlu berdepan pasukan yang agresif seperti Yokohama. Saya mencuba pendekatan bertahan yang lebih agresif, walaupun ia berisiko,” katanya.
Kempen ACLE akan terus rancak apabila Ulsan HD selepas ini akan bertandang ke Malaysia untuk berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kini turun di tangga kelima kumpulan pada 5 November depan.