PAGI ini, Malaysian Tigers lebih santai menjelang perlawanan akhir Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023.
Pengendali, A.Arulselvaraj berkata, tempoh waktu singkat yang ada akan digunakan untuk bedah siasat kemenangan 6-2 ke atas Korea Selatan di separuh akhir malam tadi, selain persiapan perlawanan akhir menentang India.
“Kita tidak mahu fikirkan terlalu banyak siapa lawan kita di final kerana saya mahu pemain enjoy the moment, feeling it, mereka harus capture the moment,” kata Arul.
Mengulas mengenai kemenangan ke atas Korea, Arul berkata, beliau menegaskan kepada pemain supaya beraksi tanpa memikirkan sejarah pertemuan kedua-dua pasukan, “Kita turun fokus untuk menang perlawanan kali kedua berturut-turut (ACT2023) kerana kemenangan kali ini amat penting untuk ke final, sekali gus paling utama untuk membawa keyakinan diri pemain ke Sukan Asia nanti.”
Menurutnya, dari segi prestasi, beliau amat berpuas hati kerana pemain menunjukkan persembahan hebat mengawal perlawanan dan cara bangkit ketika ketinggalan.
“Dari segi jaringan padang, kita mendahului mana-mana pasukan di kejohanan ini, paling banyak malah kemampuan pemain menjaringkan gol rebound pukulan sudut penalti juga, ini satu mesej positif pasukan, untuk pemain visualise dan bawanya ke China di Sukan Asia.”
Skuad negara akan menentang India di final jam 11 malam (waktu Malaysia) selepas pasukan tuan rumah membelasah Jepun 5-0 pada satu lagi perlawanan separuh akhir.
Ketika Malaysian Tigers menjadi penaring gol padang paling banyak kejohanan, India pula meledakkan 15 daripada 25 gol mereka menerusi pukulan sudut penalti.
Untuk melakar sejarah lebih besar, pemain negara perlu lebih berani memecah masuk kotak D lawan, sekali gus mencipta peluang jaringan.