SKUAD hoki wanita negara perlu menamatkan saingan Trofi Juara-Juara Asia Wanita  (ACT) 2023 dengan aksi penutup yang mantap, apabila dijadual menentang Thailand pada penentuan tempat kelima / keenam, esok.

Ketua jurulatih hoki wanita kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim berkata, perlawanan terakhir di kejohanan yang berlangsung di Ranchi, Jarkhand, India itu perlu menjadi yang terbaik buat pasukan.

Aksi skuad wanita pada Trofi Juara-Juara Asia di Ranchi, Jarkhand, India. | Foto AHF / Hockey India

“Saya sudah beritahu pemain, mahukan aksi terbaik pada perlawanan terakhir Trofi Juara-Juara Asia kali ini dan mereka tahu tanggungjawab mereka,” katanya.

Semalam skuad negara meraih kemenangan pertama apabila menewaskan Thailand 2-0 menerusi jaringan Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha dan Nur Nabila Alia Yussaini, namun masih banyak kelemahan dan peluang disia-siakan.

Aksi skuad wanita pada Trofi Juara-Juara Asia di Ranchi, Jarkhand, India. Skuad negara meraih kemenangan pertama menewaskan Thailand 2-0. | Foto AHF / Hockey India

“Alhamdulillah dapat kemenangan pertama dan pemain cukup berdisiplin di bahagian pertahanan.

“Namun kita terlepas tujuh pukulan sudut penalti dan akan melihat semula rakaman video bagi memperkemas lagi permainan pada perlawanan terakhir,” katanya.

Pasukan negara mengumpul empat mata selepas lima perlawanan, menduduki tangga kelima round robin di atas Thailand tanpa sebarang mata.