PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal meletakkan misi seterusnya Malaysian Tigers adalah menundukkan India di temasya Sukan Asia Hangzhou.
Melihatkan prestasi dipamer skuad bimbingan A Arulselvaraj pada final Trofi Juara-Juara Asia (ACT) menentang India semalam, Subahan yakin skuad negara mempunyai masa untuk membalas dendam kekalahan itu pada temasya Hangzhou, pada 23 September hingga 8 Oktober depan.
“Misi mereka selepas ini adalah untuk menundukkan India untuk menggenggam pingat emas dan seterusnya membuka peluang kepada skuad negara layak ke Olimpik Paris tahun depan,” katanya, ditemui ketika menyambut ketibaan Malaysian Tigers, pulang dari Chennai, selaku naib juara ACT 2023.
Keyakinan itu katanya, berlandaskan aksi memukau yang hampir mengejutkan pasukan ranking ketiga dunia itu.
Untuk merealisasikan hasrat itu, beliau mahu skuad negara memperkemaskan lagi strategi.
“Saya tetap berbangga dengan skuad hoki negara biarpun mereka pulang ke tanah air sebagai naib juara. Perlu diingatkan bahawa kekalahan tipis ke atas India mampu meningkatkan tahap keyakinan pemain negara.
“Seperti diketahui, India bukan pasukan calang-calang kerana mereka mampu tewaskan pasukan lebih kuat dan mereka ketika ini berada dalam ranking nombor 3 dunia.
“Jadi, selepas berakhir saingan di ACT ini pemain perlu meletakkan azam tinggi dan bertekad untuk berdepan India sekali lagi di pentas final di Sukan Asia Hangzhou,” katanya.
Dalam pada itu, Subahan mengumumkan bahawa skuad 20 pemain ke Chennai, bakal menerima bonus selepas kejayaan muncul naib juara Trofi Juara-Juara itu.
Subahan berkata, pemberian bonus itu adalah untuk menaikkan semangat pemain dalam usaha mereka memburu emas di temasya Sukan Asia, Hangzhou sekali gus layak ke temasya Olimpik Paris secara merit.
Begitupun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai jumlah dan tarikh pemberian bonus terbabit.
Pada temasya Sukan Asia Jakarta 2018, skuad negara terlepas slot ke Olimpik selepas tewas kepada Jepun, pada final temasya itu, selepas pemenang terpaksa ditentukan menerusi penalti shoot-out.