MENYEDARI bakal berdepan pasukan yang memiliki kekuatan fizikal dan mengamalkan tempo yang laju pada Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia Wanita (WACT) 2024, ketua jurulatih hoki wanita kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim yakin skuadnya bersedia menampilkan persembahan berbeza berbanding edisi tahun lalu.

Menurut Nasihin, kejohanan di Rajgir, India pada 11 hingga 20 November ini amat penting buat skuad senior negara, kembali memahat nama di persada antarabangsa.

“Kita tahu lawan kita dari segi kekuatan fizikal dan kepantasan, jadi kita perlu ubah cara permainan dan tidak boleh bermain dengan tempo yang perlahan.

Nasihin Nubli yakin sudah persiap skuad wanita.

“Kita memiliki ramai pemain berkualiti yang boleh membuat pukulan-pukulan laju selain pemain muda yang cukup laju dan jauh lebih baik sekarang,” kata Nasihin, ditemui pada Majlis Penyerahan Jersi Pasukan Hoki Wanita dan Pasukan Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita Kebangsaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pasukan hoki remaja dan senior kebangsaan serta hoki dalam dewan lelaki dan wanita kebangsaan menerima penajaan jersi Mizuno.

Dalam perkembangan sama, Nasihin berkata, pasukan bimbingannya kini menjalani latihan berintensiti tinggi.

“Kita kurang dari segi mentaliti seorang wira jadi ita sudah sediakan latihan di bawah tekanan tinggi.

“Perlawanan kali ini pasti lebih sukar, jadi kita sasarkan untuk berada dalam kelompok lima terbaik dan memenangi satu persatu perlawanan,” ujarnya.

Pada WACT 2024, skuad negara akan membuka saingan berdepan tuan rumah India pada 11 November diikuti China (12 Nov), Korea Selatan (14 Nov), Jepun (16 Nov) dan Thailand pada (17 Nov).

Skuad hoki wanita ikat Korea Selatan dalam aksi Trofi Juara-Juara Asia 2023 di India.

Empat pasukan teratas liga sepusingan akan layak ke separuh akhir.

“Tahun lalu, kita jumpa India dan tewas 5-0, bertambah baik berbanding 2022 yang menyaksikan kita tewas 9-0 dan sekarang perlahan-ahan kita bina skuad.

“Kalau menang ianya satu bonus dan tentunya kita mencari keputusan yang baik namun kita tetap berpijak di bumi nyata.”

Pada edisi tahun lalu, skuad wanita negara menamatkan saingan di kedudukan kelima selepas menang 1-0 ke atas Thailand pada perlawanan klasifikasi kelima dan keenam di Ranchi, India.