TUNKU Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) menyeru kepada semua pasukan dan negeri untuk menaik taraf atau memperbaiki padang di stadium masing-masing menjelang musim baharu Liga Malaysia yang dijangka bermula pada April 2024.
Ini selepas Tunku Ismail berkongsi keadaan padang di Stadium Sultan Ibrahim yang kelihatan cukup sempurna meskipun dalam keadaan hujan menjelang aksi Liga Juara-Juara AFC menentang BG Pathum pada Selasa.
Tunku Ismail juga meninggalkan soalan kepada pengelola liga, Malaysia Football League dan badan pentadbir bola sepak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adakah pasukannya bakal bermain di padang yang kurang baik di stadium-stadium yang lain.
Tiada lecak, tiada takungan air. Top drainage!
Soalan saya kepada MFL & FAM memandangkan Liga akan berjalan ketika musim hujan/Monsoon bermula musim hadapan. Adakah kami akan bermain atas sawah padi di stadium-stadium lain?
Inilah sebab pentingnya mempunyai padang permainan dan… pic.twitter.com/gxG6jZLuJy
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) December 12, 2023
“Tiada lecak, tiada takungan air. Top drainage!
“Soalan saya kepada MFL & FAM memandangkan Liga akan berjalan ketika musim hujan/Monsoon bermula musim hadapan. Adakah kami akan bermain atas sawah padi di stadium-stadium lain?
“Inilah sebab pentingnya mempunyai padang permainan dan sistem perparitan yang bagus. Sudah sampai masa semua pasukan dan Negeri memperbaiki padang stadium masing masing,” tulisnya pada hantaran yang dimuat naik di laman sosial peribadinya.
Isu padang stadium di Malaysia ini bukanlah perkara baharu dan pelbagai langkah sudah diambil termasuk geran bernilai RM1 juta yang diberikan oleh Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) untuk semua pasukan menaik taraf padang kepada jenis Zeon Zoysia.
Malangnya, sehingga kini dikhabarkan hanya tiga persatuan negeri yang mengambil tawaran ini manakala banyak yang memberikan pelbagai alasan termasuk kos penyelenggaraan yang tinggi sebagai punca mereka menolak tawaran itu.