TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim mengakui perbincangan tentang pembentangan bajet akan dilakukan pada minggu hadapan bagi memastikan sukan terus menjadi agenda utama yang penting demi kemajuan sesebuah negara.

Tiga kejohanan utama tahun ini adalah medan yang dititikberatkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dalam mencapai lebih banyak kegemilangan di peringkat tertinggi dalam sukan negara.

Adam Adli turut menjelaskan bahawa atlet Malaysia memerlukan lebih pendedahan di peringkat luar negara dan fasiliti juga perlu ditambahbaik agar sukan negara ini dapat bersaing dengan negara maju yang lain.

“Dalam kekangan yang kita ada sekarang, kita haruslah ambil sikap bertanggungjawab. Kita berhadapan dengan banyak kejohanan besar. Kita ada tiga kejohanan besar berturut-turut. Kita ada Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

“Ia memerlukan penumpuan khusus terutama dalam usaha untuk kita tingkatkan prestasi atlet kita. Kita kena hantar atlet kita untuk bertanding di peringkat luar supaya mereka dapat persaingan yang lebih berkualiti.

“Pendedahan dari segi peralatan dan penjagaan atlet bertanding, dalam kesuntukan yang kita hadapi, kita cuba optimumkan peruntukan yang kita ada untuk memastikan atlet kita dapat menyertai kejohanan selepas ini,” katanya ketika ditemui media di Gatorade MVP 3×3 Basketball Tour yang diadakan di KL Gateway pada Khamis.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa sandaran perlu dibuka secara seimbang kepada atlet senior dan muda agar persaingan lebih sihat dapat diwujudkan.

“Tentu jangan kita hanya sandarkan pada satu sukan sahaja. Inilah pentingnya untuk kita terokai bakat-bakat baru yang ada. Dahulunya siapa sangka, kita boleh menjadi sangat baik dalam sukan basikal tetapi sekarang ini kita mampu untuk mendapatkan emas,” ujarnya.

Sementara itu, pertemuan Hannah Yeoh dengan Lee Zii Jia dan Misbun Sidek baru-baru ini dilakukan agar negara dapat mengumpul senjata terbaik bagi menghadapi beberapa kejohanan besar yang bakal berlangsung tahun ini.

“Kita akan sentiasa membuat engagement. Hannah pun ada bertemu Lee Zii Jia untuk bincangkan beberapa perkara. Sebelum itu, dia ada bertemu dengan Misbuk Sidek dari Nusa Mahsuri supaya kita dapat mengumpul kekuatan. Kita agak serius untuk menghadapi Sukan Asia dan Sukan Olimpik,” jelasnya.