KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) berpuas hati dengan prestasi semasa atlet di bawah program Road To Gold (RTG) dalam misi buruan pingat emas pertama Sukan Olimpik.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd. Halim, berkata, Jawatankuasa RTG sentiasa memantau perjalanan latihan serta persedian atlet di bawah program tersebut dari masa ke semasa.

Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, KBS serta Jawatankuasa RTG turut meneliti keperluan tambahan yang masih diperlukan bagi memastikan persediaan rapi dapat diberi kepada atlet.

“Ini termasuk permintaan tambah baik latihan melibatkan jaguh berbasikal, Datuk Azizulhasni Awang yang turut diteliti dan kita akan bantu semua atlet program RTG.

“Berdasarkan maklum balas, semuanya sedang berjalan lancar.

“Mungkin akan ada tambahan bilangan atlet (RTG) seperti pasukan hoki lelaki yang baru tersenarai dan jika ada prospek pingat emas, kita akan tambah berdasarkan prestasi semasa,” katanya.

Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya ditemui FLASH SUKAN selepas menziarai bekas tonggak bola sepak negara, Harun Jusoh, di kediamannya di Batu Buruk dekat sini, pada Isnin.

Jun lalu, skuad hoki lelaki negara menjadi atlet berpasukan pertama tersenarai dalam program RTG selepas memenuhi syarat menghuni kedudukan ranking 10 terbaik dunia.

Program RTG sebelum ini dibarisi 15 atlet dengan didominasi atlet badminton antaranya Lee Zii Jia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, Pearly Tan dan M. Thinaah serta Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing.

Selain itu, Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal) serta atlet terjun, Datuk Pandalela Rinong Pamg dan Nor Dhabitah Sabri turut menjadi sandaran pingat emas.