GAGAL capai sasaran meraih pingat emas di temasya Sukan SEA Kemboja, bukanlah satu penyesalan, sebaliknya menjadi pengajaran berguna buat Adam Akasyah.
Atlet Jujitsu yang dicanang bakal menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen negara pada Sabtu, kandas di separuh akhir dan hanya mampu menyumbang pingat gangsa.
“Tidak, tiada tekanan daripada harapan emas yang disandarkan kepada saya. Saya yang meletak tekanan di bahu saya.
“Jika melihat apa yang terpaksa saya tempuhi dalam tempoh 12 bulan ini, pulih dari kecederaan dan melakukan banyak perubahan dalam aksi saya dan mampu mengejar semula pencabar utama (Noah Lim), saya rasa prestasi saya sangat baik, berpuas hati dengan pingat gangsa,” katanya.
Adam tewas kepada pilihan utama, Noah dari Singapura di separuh akhir Ne Waza Gi 69 kilogram (kg), semalam, meraih pingat gangsa selepas berjaya mengatasi atlet Kemboja, Hour Senghong dan meraih pingat gangsa.
Pada temasya Hanoi, Adam meraih pingat perak selepas tewas kepada Noah di final, manakala pada 2019, dia meraih pingat gangsa.