PERASAAN teruja dapat berada dalam satu pasukan bersama idolanya, pemain hoki remaja, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari mahu menggunakan peluang terhidang untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman.
Setelah berada dalam senarai 30 pemain Speedy Tigers ke fasa kedua pemilihan skuad hoki senior kebangsaan, pemain berusia 18 tahun dari Kelantan itu berkata, dia mahu terpilih ke senarai 18 pemain terakhir yang akan menggalas cabaran negara di Piala Sultan Azlan Shah, di Ipoh, Perak.
“Sebenarnya saya tidak menjangkakan saya terpilih ke dalam skuad 30 pemain, tetapi sudah terpilih ini saya mahu lakukan yang terbaik.
“Dapat berada dalam satu skuad bersama pemain senior sentiasa menjadi impian saya dan jurulatih juga ada memberi kata-kata semangat, mahu saya melakukan lebih baik untuk kekal berada dalam pasukan,” kata Muhammad Adam Ashraf, ditemui pada sesi latihan sebelah malam di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Bermain di sisi pemain tengah Speedy Tigers, Mohd Fitri Saari yang menjadi idolanya, dia mahu membuktikan bahawa dirinya mampu mencapai tahap Fitri.
“Saya mengikuti perkembangan kerjaya Fitri sejak di sekolah rendah lagi. Untuk mencapai tahap Fitri, saya rasa saya boleh mencerapkan tanpa memerlukan masa yang lama.
“Bagi saya, saya boleh belajar daripada Fitri bagaimana untuk kekal tenang kerana dia cukup fokus dan berdisiplin dalam pasukan,” kata Muhammad Adam Ashraf, sambil menafikan faktor saiz badan yang kecil tidak boleh bersaing di pentas antarabangsa.
Mengulas mengenai keterujaannya untuk berada dalam skuad yang menggalas cabaran di Piala Sultan Azlan Shah 4 hingga 11 Mei hadapan: “Saya menontonnya di televisyen pada 2022 dan waktu itu berada di tingkatan 4.
“Memang saya nak sangat rasakan bermain pada perlawanan antarabangsa di laman sendiri, bersama pemain senior dan ianya pasi mengujakan.”