BEKAS atlet berbasikal negara, Adiq Husainie Othman yakin sudah tiba masanya untuk menabur bakti semula bersama pasukan kebangsaan selepas bersara sebagai seorang atlet lima tahun lalu.

Adiq yang baharu dilantik sebagai jurulatih berbasikal pelapis kebangsaan tahun ini mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa dan sudah pasti ia mampu memberi ilmu kepada bakat-bakat muda.

“Sebelum saya menyertai Majlis Sukan Negara (MSN), saya mempunya akademi sendiri di Taman Malawati yang bernama Team Aquatwo Cyclomotion.

Adiq (hujung kanan) bersama pelumba-pelumba  Team Aquatwo Cyclomotion. (Sumber Gambar: FB Aquatwo Cyclomotion)

“Pada tahun ini ia merupakan tahun ketiga untuk akademi ini, saya ajak budak-budak rider di  kalangan pelajar sekolah yang naik basikal fixie, ‘nyamok’ dan basikal kecil.

“Selepas tiga tahun, kesemuanya Bawah 18 dan 23 tahun dalam pasukan mampu bersaing antara pasukan negeri-negeri dalam pelbagai kejohanan yang dianjurkan di bawah Junior Cycling Malaysia dan dalam masa yang sama setiap tahun kita pergi kejohanan kebangsaan, kita selalu berada di atas podium.

Adiq kini merupakan jurulatih berbasikal pelapis kebangsaan dan mula berkhidmat pada awal tahun ini. (Sumber Gambar: Youtube MSN Malaysia)

“Jadi sudah pasti saya tahu ciri-ciri pelumba muda yang saya inginkan, kita akan ambil dia hasil daripada apa yang kita nampak terhadapnya,” katanya dalam satu temu bual di Youtube.

Malah Adiq,32,  juga mengakui perlu menyusan program latihan mengikut kemampuan peringkat umur pelumba itu agar ia mampu berlatih dengan baik.

“Sudah pasti bila kita kayuh dalam masa jangka yang panjang ni kita kena susun program latihan itu. 

“Antaranya kita berlatih tiga atau empat jam tanpa berhenti tapi di dalam latihan tu kita boleh memasukkan dengan latihan-latihan yang berbeza seperti interval training ataupun rotation training dalam program latihan jadi kat situ atlet-atlet atau pelumba-pelumba basikal tidak rasa bosan dan lebih seronok.

Adiq yang beraksi ketika acara individual road race ketika Sukan Asia di Guangzhou. (Sumber Gambar: NST)

“Dalam masa yang sama dia bukan sahaja menguji dia punya kekuatan tetapi dia juga menguji kesemuanya dari segi otot-otot dia, dia punya fikiran dan juga persekitaran ketika dia berlatih,” ujarnya lagi.

Adiq Husainie merupakan bekas atlet berbasikal negara dan pernah memenangi jersi putih ketika Le Tour De Langkawi 2016.

Sejak memulakan kariernya pada tahun 2007, Adiq juga telah mencipta pelbagai rekod di peringkat Sukan SEA serta Kejuaraan Bawah 23 Tahun, Jelajah Malaysia, Jelajah Brunei dan sebagainya.